Pengampunan bersyarat Najib: Pasukan guaman tunggu arahan susulan

KUALA LUMPUR – Pasukan guaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih menunggu arahan lanjut sebelum memberikan sebarang komen berhubung permohonan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, barisan peguam mengambil pendirian untuk tidak mengeluarkan kenyataan terlalu awal bagi mengelakkan sebarang maklumat tidak tepat disampaikan.
“Saya sedang menunggu arahan berhubung perkembangan ini.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang maklumat yang salah,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Muhammad Farhan berkata, Messrs Shafee & Co akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat sebarang perkembangan yang memerlukan maklum balas daripada pihaknya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 72 tahun itu dilaporkan mendapat pengampunan bersyarat daripada Sultan Ibrahim dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

