Lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal Tasik Bera diteroka secara haram

Antara kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera diteroka secara haram. Gambar kecil: Saifullah Muhammad Ali
Antara kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera diteroka secara haram. Gambar kecil: Saifullah Muhammad Ali
A
A
A

KUANTAN- Lebih 7,000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah, dan pelbagai tanaman kontan.

Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, pihaknya telah menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penerokaan haram terhadap kawasan diwartakan pada Ogos 2007 itu.

Menurutnya, operasi bersepadu bermula 14 September lalu melibatkan kekuatan 160 anggota terdiri anggota UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perhilitan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera dengan kawalan polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil kerana kami mengesyaki kawasan hutan simpan dianggarkan seluas lebih 7,000 hektar itu telah diteroka secara haram dengan tanaman sawit dan getah.

"Kami juga mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi penduduk setempat untuk membuka tanah dengan berselindung di sebalik alasan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Saifullah berkata, berdasarkan pemerhatian, ada setengah perkampungan Orang Asli yang dimasuki, hanya ada enam rumah, tetapi penerokaan tanah yang berlaku seluas seribu ekar.

Adakah ini kita kira sebagai tanaman sara hidup?,” soalnya.

Sementara itu, beliau mendedahkan, pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras penerokaan haram di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera itu terpaksa berdepan tindakan provokatif dan halangan semasa menjalankan tugas.

Katanya, sepanjang empat hari operasi, kira-kira 10 kampung dimasuki dan semua jalan masuk kampung disekat dengan halangan berpagar yang digantung dengan tulang-tulang dan bekas kemenyan di tengah-tengah pagar.

Artikel Berkaitan:

"Penguat kuasa yang bertugas tiada pilihan selain membuka halangan pagar dan bekas kemenyan tersebut bagi menyelesaikan tugas.

"Apa niat segelintir masyarakat Orang Asli melakukan perkara tersebut? Seperti memang ada niat untuk mengenakan santau atau mencederakan semua penguat kuasa yang bertugas," katanya.

Tegasnya, walaupun berdepan pelbagai halangan, operasi penguatkuasaan di kawasan ini akan diteruskan bagi melumpuhkan sindiket haram yang meneroka kawasan Hutan Simpan di negeri ini

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!