Lelaki bergelar Datuk antara ditahan miliki pistol palsu

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Dua lelaki salah seorang daripadanya bergelar Datuk ditahan selepas memiliki sepucuk pistol angin dan peralatan mencuri kenderaan dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jawi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, dua lelaki berkenaan yang menaiki kenderaan jenis Toyoya Vellfire ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan selain gagal memberikan alasan munasabah berada di luar rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Sumber berkata, pemeriksaan yang dibuat mendapati kenderaan yang digunakan mereka juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui sepucuk pistol angin dan peralatan yang dipercayai untuk mencuri kenderaan mewah.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk siasatan lanjut,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya pistol yang dijumpai itu adalah tiruan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan sama ada mereka terlibat dengan kegiatan jenayah di negeri ini,"katanya.

Artikel Berkaitan: