103 penyewa PPR Taman Manggis lagi bakal diusir

GEORGE TOWN – Seramai 103 penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang didapati tidak lagi memenuhi syarat kelayakan berdepan tindakan pengosongan unit kediaman berkenaan.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan proses pemutihan dan pemeriksaan latar belakang terhadap setiap penyewa sebelum notis pengosongan dikeluarkan.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 19 penyewa telah diambil tindakan susulan setakat ini manakala baki 103 lagi masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan serta memperbetulkan dokumen sekiranya terdapat kekhilafan.
“Daripada 103 itu, kita sudah turun padang ke rumah-rumah PPR berkenaan dan beri peluang kepada mereka untuk membuat rayuan dan pemutihan.
“Kalau mereka datang, kita akan teliti. Tetapi kalau tiada apa-apa maklum balas, kita akan pergi ke langkah seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
Terdahulu, penduduk PPR Taman Manggis yang berdepan tindakan pengusiran merayu supaya kerajaan negeri memberikan tempoh munasabah bagi membolehkan mereka mencari kediaman baharu sebelum rumah mereka dikosongkan.
Pengerusi Pertubuhan Penduduk PPR Taman Manggis, Pannir Selvam berkata, tindakan pengusiran secara berperingkat itu menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan golongan B40 yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan kediaman baharu dalam tempoh singkat.
Menurut Pannir, lima unit rumah telah dikenakan tindakan pengusiran pada minggu lalu manakala tujuh lagi unit dikosongkan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri tidak bertindak secara terburu-buru atau kejam dalam isu berkenaan sebaliknya memberi tempoh munasabah kepada penyewa yang benar-benar mempunyai masalah untuk mengosongkan kediaman.
Menurutnya, notis pengosongan yang dikeluarkan pada Mac lalu memberikan tempoh tiga bulan kepada penyewa terbabit sebelum tambahan tempoh turut diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Tempoh tiga bulan sudah diberikan, kemudian kita bagi lagi tiga bulan. Tetapi tiga bulan tidak boleh jadi tiga tahun atau 30 tahun.
“Kita ada juga beri tempoh lebih panjang kepada kes tertentu. Ada seorang penyewa yang saya beri masa sehingga Disember kerana dia memang ada masalah dan sudah membeli rumah tetapi rumah itu masih belum siap,” jelasnya.
Sundarajoo menambah, pihaknya turut menawarkan unit kediaman secara sewa-beli kepada penyewa tertentu yang didapati memerlukan tempat tinggal khususnya golongan berusia dan keluarga yang benar-benar layak.
“Kita sudah tawarkan rumah untuk sewa-beli. Ada dua orang yang sudah terima dan mereka perlukan masa sebulan dua untuk berpindah. Kita bagi masa, tidak ada masalah.
“Tetapi ada yang mahu rumah di pusat bandar ini pada harga RM42,000. Mana ada rumah macam itu? Kita sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab kena berkongsi tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, pendekatan kerajaan negeri adalah memastikan setiap keluarga yang benar-benar memerlukan mendapat tempat tinggal terlebih dahulu sebelum ditawarkan skim pemilikan secara sewa-beli.
Tambahnya, unit yang sesuai akan ditawarkan berdasarkan saiz keluarga, sama ada satu, dua atau tiga bilik sebelum mereka diberi peluang membeli kediaman berkenaan melalui skim sewa-beli dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Kalau dia tidak mahu beli, itu bukan masalah kita. Setiap insan ada tanggungjawab untuk menjaga keluarga.
“Kalau seseorang itu kata dia masih B40 selepas 20 tahun, kita kena tanya apa usaha yang sudah dibuat. Jangan semua mahu salahkan kerajaan kerana kerajaan ada banyak program,” katanya.
Mengulas dakwaan mengenai penyewa sudah lama mendiami PPR berkenaan, beliau berkata, terdapat unit yang didapati telah diubah suai sehingga menyerupai kediaman kondominium selain dilengkapi pendingin hawa dan pelbagai kemudahan.
Tambah beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kelayakan sesetengah penyewa untuk terus menduduki unit PPR yang sepatutnya membantu golongan berpendapatan rendah.
“Kalau masuk Taman Manggis, ia sudah tidak nampak seperti rumah murah atau PPR. Sudah nampak macam kondominium. Ada pendingin hawa, siling dan pelbagai kelengkapan.
“Kita juga pernah kosongkan satu unit secara sukarela dan hampir tujuh orang keluar tetapi rumah itu banyak unit pendingin hawa. Jadi kita tertanya-tanya, adakah mereka ini benar-benar B40?” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mendapati kenderaan baharu dan motosikal berkuasa tinggi digunakan oleh sesetengah penghuni selain ada kenderaan yang memaparkan tanda pangkat atau gelaran tertentu.
Bagaimanapun, Sundarajoo berkata, pihaknya tidak berhasrat mendedahkan identiti mana-mana penyewa kerana tindakan pengosongan dibuat berdasarkan data dan hasil siasatan latar belakang bukannya untuk memburukkan individu tertentu.
“Kalau kita dapati seseorang sudah hilang kelayakan, kita perlu betulkan keadaan itu supaya unit boleh diberikan kepada orang yang lebih layak.
“Ramai golongan B40 di luar sana yang tidak mempunyai rumah dan ada yang terpaksa tinggal di pusat transit. Kalau kita ada lebih banyak unit seperti ini, lebih mudah kita bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga kes keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan sehingga terpaksa ditempatkan sementara di pusat transit sebelum pihaknya membantu mendapatkan kediaman yang sesuai.
Dalam pada itu, Sundarajoo menafikan dakwaan bahawa penghuni PPR Taman Manggis sebelum ini pernah diberikan tawaran untuk membeli unit berkenaan selepas tempoh tertentu.
Jelas beliau lagi, dakwaan kononnya unit PPR terbabit sepatutnya ditawarkan untuk dibeli selepas dua tahun tidak mempunyai asas sekiranya tiada dokumen atau surat rasmi yang membuktikannya.
“Kalau ada hitam putih yang mengatakan boleh beli, bawa kepada saya dan saya akan bagi beli. Tetapi setakat rekod kita daripada Jabatan Perumahan sehingga menjadi Lembaga Perumahan, memang tidak ada tawaran seperti itu.
“Cakap mulut tidak guna. Siapa-siapa pun boleh cakap. Kalau ada dokumen, tunjukkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan seorang individu yang mengaku sebagai wakil penduduk sedangkan namanya tidak tersenarai sebagai penyewa PPR Taman Manggis.
Katanya, hasil semakan juga mendapati individu berkenaan mempunyai pendaftaran perniagaan atas namanya walaupun mendakwa dirinya daripada golongan B40.
“Dia bukan penyewa kita. Namanya tidak berada dalam rekod Taman Manggis. Bapanya memang penyewa dan dia hanya duduk menumpang.
“Kita sudah buat siasatan latar belakang setiap penghuni. Kalau nak kata dia B40, kita ada bukti bahawa dia bukan lagi dalam kategori itu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pengosongan bukan bertujuan menghukum penyewa sebaliknya memastikan unit PPR dapat dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan.
“Mana ada kerajaan kejam? Kita faham masalah rakyat. Kalau betul-betul ada masalah, datang bincang dengan kita.
“Yang tidak layak perlu dibetulkan supaya unit itu boleh diberikan kepada yang lebih layak. Kos tanah di Pulau Pinang mahal dan ramai yang tidak mampu membayar sewa pasaran,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak boleh terus membiarkan unit PPR diduduki mereka yang sudah tidak memenuhi syarat sedangkan masih ramai golongan berpendapatan rendah memerlukan tempat tinggal.
“PPR sepatutnya dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, bukan mereka yang mempunyai kenderaan mewah atau kehidupan yang sudah berubah tetapi masih mahu mengekalkan unit PPR,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

