Kerajaan digesa rombak dasar perumahan awam

A
A
A

Pemandangan dari salah sebuah unit kediaman di PA Seri Selangor yang menampilkan realiti kehidupan harian penduduk di kawasan perumahan awam berkepadatan tinggi.
Pemandangan dari salah sebuah unit kediaman di PA Seri Selangor yang menampilkan realiti kehidupan harian penduduk di kawasan perumahan awam berkepadatan tinggi.

BANGI – Kajian terhadap 10 komuniti projek prumahan rakyat (PPR) di Lembah Klang mendapati 61 peratus (%) penghuni masih menetap di kediaman sama antara 10 hingga 30 tahun, sekali gus menunjukkan ia tidak lagi berfungsi sebagai penempatan sementara.

Selain itu ia tidak lagi dilihat mampu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah seperti yang dihasratkan ketika dasar itu diperkenalkan.

Kajian mendapati lebih daripada 70 % responden terdedah kepada kejutan ekonomi, dan 75 % melaporkan tahap tekanan mereka tidak bertambah baik atau semakin merosot sejak pandemik Covid 19.

Susulan dapatan itu, kerajaan digesa menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang melapor terus kepada Perdana Menteri bagi merangka Program Transformasi Perumahan Awam Malaysia untuk memperbaharui dasar, tadbir urus dan sistem pengurusan sektor berkenaan.

Gesaan tersebut dibuat Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) bersama Akademi Profesor Malaysia, pakar akademik, badan bukan kerajaan dan penggubal dasar berdasarkan dapatan laporan From Roof to Resilience oleh Think City yang dibentangkan pada sidang meja bulat ‘Masa Depan Perumahan Awam dan Cabarannya’ yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Laporan itu mendapati selepas lebih lima dekad, perumahan awam yang diwujudkan sebagai laluan keluar daripada kemiskinan kini menunjukkan tanda-tanda kemerosotan apabila kebolehhunian semakin terjejas, tekanan hidup penduduk meningkat dan perpaduan sosial semakin lemah.

Lebih membimbangkan, kajian itu mendapati masalah yang berlaku bukan lagi berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan semata-mata, sebaliknya disebabkan kegagalan institusi yang melibatkan objektif dasar yang semakin kabur, tadbir urus yang tidak bersepadu serta model pembiayaan yang tidak lagi mampan.

Artikel Berkaitan:

Dasar tidak lagi capai matlamat asal

Pengarah Think City, Dr Shahridan Faiez berkata, dapatan tersebut menunjukkan dasar perumahan awam negara yang menjadi asas pembangunan sejak beberapa dekad lalu perlu dinilai semula kerana tidak lagi selari dengan realiti dan cabaran semasa.

Menurut beliau, dasar itu berjaya memenuhi keperluannya ketika mula diperkenalkan, namun perubahan landskap sosial, ekonomi dan pembangunan bandar menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh.

“Dasar perumahan awam kita mungkin sudah outdated. Dasar itu pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, tetapi kini sudah tiba masanya kita melihat semula objektif asalnya.

“Perumahan awam sepatutnya menjadi platform untuk mobiliti sosial, namun kini objektif itu mungkin tidak lagi tercapai. Oleh itu terdapat keperluan mendesak untuk pembuat dasar memperbaharui dasar perumahan awam negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, antara kelemahan utama yang dikenal pasti ialah struktur institusi yang menguruskan perumahan awam terlalu berpecah sehingga pelbagai agensi melaksanakan tanggungjawab secara berasingan tanpa penyelarasan yang berkesan.

Akibatnya, pelbagai isu yang dihadapi penghuni tidak dapat ditangani secara holistik walaupun cabaran yang wujud semakin kompleks dan saling berkait.

“Kehidupan komuniti perumahan awam hari ini boleh diibaratkan seperti berada dalam pressure cooker.

“Kita juga mula melihat tanda-tanda poverty trap atau perangkap kemiskinan, sedangkan fungsi asal perumahan awam ialah membantu masyarakat meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka.

“Pembaharuan yang ingin dilaksanakan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan lebih banyak rumah, sebaliknya melihat keseluruhan ekosistem perumahan awam termasuk tadbir urus, model kewangan, penyelenggaraan, pembangunan komuniti, penyampaian perkhidmatan dan penyelarasan antara kementerian serta agensi,” ujarnya.

Perlu lihat 30 tahun ke hadapan

Sementara itu, Penasihat Dasar Program Kita-Untuk-Kita (K2K), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata, kerajaan perlu mula merancang hala tuju baharu sektor perumahan awam dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi negara dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Menurut beliau, dasar perumahan awam telah melalui beberapa fasa pembangunan mengikut keperluan semasa, namun perubahan struktur masyarakat dan pembangunan bandar menuntut pendekatan yang berbeza.

“Kita perlu melihat 30 tahun ke hadapan. Menjelang tahun 2057, negara akan mencecah usia 100 tahun.

“Persoalannya, adakah kita masih mahu menggunakan dasar yang sama sedangkan cabaran masyarakat hari ini sudah jauh berubah?

“Sebab itu kita perlu mengimaginasi semula perumahan awam agar sesuai dengan keperluan abad ke-21,” jelasnya.

Beliau berkata, penubuhan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi merupakan langkah penting bagi menyelaras reformasi sektor perumahan awam yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Malah menurutnya, pasukan itu perlu dianggotai pakar daripada pelbagai disiplin termasuk sosiologi, antropologi, ekonomi, perancangan bandar dan bidang berkaitan bagi memastikan proses penyelarasan dasar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pasukan petugas itu bukan sahaja perlu meneliti dasar dan program sedia ada, malah mendapatkan pandangan penyelidik, universiti, Think City serta pengalaman hidup penghuni sendiri supaya penyelesaian yang dirangka benar-benar berasaskan realiti.

“Data bukan sekadar angka yang boleh diukur, tetapi pengalaman hidup masyarakat juga penting dalam membentuk dasar yang lebih berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli bidang sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syarifah Fatimah Al-Attas menegaskan bahawa reka bentuk dan perancangan perumahan awam masa depan wajib mengambil kira pengalaman serta realiti hidup penghuni.

Menurut beliau, perancangan masa hadapan mesti memberikan penekanan setara kepada pembinaan infrastruktur sosial.

“Langkah ini sangat mendesak memandangkan PPR hari ini didominasi oleh golongan rentan dan terpinggir seperti kanak-kanak, ibu tunggal, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Justeru, integrasi infrastruktur sosial, seperti ruang jagaan anak, fasiliti mesra OKU/warga emas, dan ruang komuniti yang selamat, bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan antara prasyarat utama bagi memastikan setiap penghuni dapat menikmati hak terhadap kehidupan yang adil, saksama, dan bermartabat menjelang masa akan datang.

3R pacu transformasi perumahan awam

Laporan From Roof to Resilience turut menggariskan pendekatan 3R sebagai asas Program Transformasi Perumahan Awam.

Cadangan itu merangkumi Rebuild bagi membina semula komuniti melalui pengukuhan perpaduan sosial dan sokongan kepada inisiatif komuniti, manakala Reframe untuk merangka semula sistem tadbir urus yang lebih professional, bertanggungjawab dan sistem akauntabiliti yang lebih jelas.

Reform pula bagi memperbaharui dasar melalui penyelarasan tanggungjawab antara agensi, pembiayaan penyelenggaraan yang mampan, penglibatan komuniti dalam pengurusan bersama, dan pengintegrasian perumahan awam dalam strategi pembangunan bandar negara.

Laporan itu menyatakan, pembaharuan tersebut penting bagi memastikan perumahan awam kembali berfungsi sebagai platform mobiliti sosial yang mampu membantu rakyat keluar daripada kemiskinan, bukannya menjadi penempatan kekal yang akhirnya mewujudkan perangkap kemiskinan bandar dari satu generasi ke generasi seterusnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!