Mangsa banjir di Kedah meningkat, lima buah PPS di tiga daerah dibuka

YAN - Jumlah mangsa berpindah akibat banjir di Kedah meningkat susulan pembukaan lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan rumah penduduk masih dinaiki air pada Isnin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, setakat jam 11.30 pagi, seramai 172 mangsa dari 61 buah keluarga ditempatkan di tiga buah PPS di daerah tersebut.
Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan Teroi yang dibuka pada jam 9.30 pagi Ahad menempatkan 101 mangsa dari 29 buah keluarga.
"Dua PPS baharu ialah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Eng dibuka 2.30 petang Ahad menempatkan 41 mangsa dari 23 buah keluarga.
"Dewan Lestari di Guar Chempedak yang dibuka jam 12.05 tengah malam pada Isnin pula menempatkan 30 mangsa dari sembilan keluarga," katanya.

Sementara itu, di Daerah Kuala Muda, seramai lapan mangsa masih ditempatkan di PPS Surau As Saadiah yang dibuka sejak Ahad.
Selain itu, Pendang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila 16 mangsa dari enam keluarga berdaftar di PPS Dewan Keda Tanjung Setol.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, hujan lebat dalam tempoh kira-kira lima jam menyebabkan rumah penduduk di Kampung Titi Teras dan Teroi Bukit, Yan dekat Gunung Jerai di sini ditenggelami air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

