PRN Johor: Pesara pilih awal pagi selesai urusan pengundian

MUAR – Hujan lebat sejak awal pagi mendorong golongan pesara keluar seawal pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu.
Pesara sektor swasta, P Gunasekaran, 63, beratur seawal jam 7.15 pagi sekali gus menjadi pengundi pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar.
Beliau meluahkan rasa gembira apabila urusan pengundiannya berjalan lancar dan dapat diselesaikan sejurus pusat mengundi dibuka.
“Saya keluar awal sebab risau hujan. Penggal lepas pun hujan juga ketika hari mengundi, tetapi kali ini lebih lebat. Hujan mula turun sekitar jam 4 pagi, berhenti seketika sebelum kembali lebat sekitar jam 7.30 pagi.
"Saya bangun seawal jam 4 pagi, bersiap dan keluar dari rumah pada jam 6 pagi sebelum tiba di pusat mengundi sekitar jam 7 pagi," katanya ketika ditemui di pusat mengundi itu.

Katanya, dia juga memilih untuk datang awal kerana anak-anaknya bekerja dan mahu menyelesaikan urusan mengundi sebelum melakukan aktiviti lain.
"Saya berharap pemimpin yang dipilih nanti benar-benar bekerja dengan tulus dan ikhlas serta bebas daripada amalan rasuah demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesara, Rokiah Yunos, 80, berkata, dia turut mengambil keputusan keluar awal selepas menunaikan solat Subuh bagi mengelakkan kesukaran sekiranya hujan berterusan.
"Saya keluar rumah kira-kira jam 7.30 pagi. Alhamdulillah tidak perlu menunggu lama kerana sebaik tiba, pagar pusat mengundi dibuka dan saya terus dapat mengundi.
"Sejak layak mengundi saya tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab ini, cuma kali ini saya datang lebih awal daripada kebiasaan kerana bimbang hujan," katanya.
Tambahnya, mengundi pada waktu pagi juga lebih memudahkan urusan hariannya kerana masih mempunyai tanggungjawab menyediakan juadah di rumah.
"Kalau datang lewat, nanti urusan memasak pula terganggu. Jadi lebih baik selesaikan tanggungjawab sebagai pengundi terlebih dahulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

