Gaji menteri Singapura naik 9 peratus selepas 15 tahun

SINGAPURA –Pemegang jawatan politik di Singapura akan menerima kenaikan gaji sekali sahaja hingga sembilan peratus selepas kerajaan meluluskan cadangan jawatankuasa yang ditubuhkan pada Disember 2025 bagi mengkaji semula gaji mereka.
Ketika berucap di Parlimen pada 8 September, Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan jawatankuasa berkenaan untuk menaikkan penanda aras gaji bagi gred MR4 daripada S$1.1 juta (RM3.8 juta)) kepada S$1.8 juta (RM6.2 juta) berkuat kuasa pada 15 Oktober depan.
Menurutnya, julat gaji bagi para menteri juga akan diperluaskan. Selain kenaikan sekali sahaja itu, gaji menteri akan terus diselaraskan berdasarkan prestasi.
Lawrence menjangkakan kebanyakan menteri MR4 akan memperoleh kira-kira S$1.35 juta (RM4.33 juta) iaitu paras bawah julat gaji baharu menjelang akhir penggal kerajaan ini.
"Saya memutuskan untuk bertindak sekarang kerana gaji menteri semakin ketinggalan berbanding gaji di sektor swasta dan juga perkhidmatan awam dalam tempoh 15 tahun yang lalu.
"Pentadbiran yang baik bergantung pada kepimpinan yang berkualiti, manakala keberkesanan sesebuah institusi pula ditentukan oleh mereka yang menerajuinya.
“Sistem dan proses memang penting, tetapi ia tidak boleh berjalan sendiri terutamanya di peringkat tertinggi, kepimpinan yang baik mampu membawa perubahan besar," ujarnya lagi.
Jurang tersebut paling ketara apabila dibandingkan dengan sektor swasta malah dalam perkhidmatan awam sendiri pun terdapat beberapa setiausaha tetap kanan yang memperoleh gaji lebih tinggi daripada menteri.
Gaji pemegang jawatan politik kali terakhir disemak pada 2012 dengan pelarasan tersebut turut mengambil kira tempoh bermula pada 2011 iaitu ketika penggal baharu kerajaan bermula.
Sejak itu, kerajaan berturut-turut memilih untuk tidak membuat sebarang pelarasan lanjut, antaranya disebabkan ketidaktentuan global meskipun rangka kerja gaji berkenaan masih kekal relevan.
Pada 2017, sebuah jawatankuasa kajian semula pernah mengesyorkan kenaikan gaji bagi pemegang jawatan politik.
Bagaimanapun, kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak melaksanakan sebarang perubahan berikutan situasi ekonomi tidak menentu. -Agensi
INFO
>MR4 ialah gred permulaan bagi menteri dalam struktur gaji Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

