PKR selepas PRU16: Antara kuasa, persepsi dan realiti politik

RAMAI yang terkeliru dengan kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada masa ini. Mereka merasakan PKR sebuah parti yang kuat lagi kukuh. Tetapi keadaan yang sebenarnya, PKR bukanlah sebuah parti kuat serta berpengaruh. Kekeliruan ini terjadi kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR menjadi Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh (PMX).
Sebenarnya, PKR sebuah parti yang menunjangi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tetapi tiada 'State Base' atau Negeri Kubu buat PKR. Inilah yang tidak disedari oleh kebanyakan orang ramai.
Anwar menjadi perdana menteri hanya secara kebetulan, bila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa 30 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH). PH pada masa itu hanya memenangi 82 kerusi Parlimen (MP), termasuk Syed Sadiq dari Parti Muda.
Sokongan Presiden UMNO itu mencukupkan jumlah 112 bagi mendapatkan majoriti mudah. Selepas penyertaan UMNO, barulah kerajaan campuran ini mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ada 8, WARISAN 3, KDM 2, PBM 1 dan 1 Bebas.
Semasa Anwar menjadi perdana menteri, PKR hanya mempunyai 31 MP daripada jumlah 222 kerusi Parlimen. Kedudukan Anwar sebagai perdana menteri tidaklah seperti kedudukan Perdana Menteri di era UMNO menerajui negara. Berbeda dengan Anwar, di mana PKR jauh lebih kecil dari rakan komponennya iaitu DAP yang mempunyai 40 MP.
Sedangkan UMNO, semasa presidennya menjadi perdana menteri mempunyai kedudukan yang kukuh dengan mempunyai jumlah MP yang jauh lebih banyak dari rakan komponennye sejak dari Perikatan hinggalah di zaman BN. Atas kekuatan itu UMNO boleh menjadi ‘abang besar’ semasa menerajui negara ini sama ada waktu Perikatan atau BN.
UMNO jelas menjadi ‘abang besar’ semasa pentadbiran Perikatan dan BN. Sebaliknya, ramai yang melihat bahawa kerajaan campuran di bawah Anwar, yang menjadi ‘abang besar’ adalah DAP. Contoh yang mudah adalah projek PTMP iaitu Penang Transport Master Plan atau Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.
Untuk LRT Mutiara, salah satu komponen PTMP sahaja sudah memakan belanja sebanyak RM 16.8 bilion. Difahamkan jumlah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, demi ingin menjaga hati ‘abang besar’ yang memerintah Pulau Pinang. Anggaran keseluruhan kos PTMP itu sekitar RM 46 bilion.
Sekiranya Pulau Pinang mendapat peruntukan yang besar dari Kerajaan Persekutuan, itu jelas menggambarkan secara nyata bahawa DAP adalah ‘abang besar’ kepada PKR. Sebabnya, DAP menguasai negeri Pulau Pinang.
Memang PKR memimpin Negeri Selangor dan Negeri Sembilan, bila mana menteri besar kedua-dua negeri tersebut datang dari Parti PKR. Kedudukan mereka sama juga kedudukan Anwar dalam kerajaan campuran di pusat yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan.
Entah apa yang berpadu, selain mendengar perbalahan antara kepimpinan UMNO dengan DAP, terutama dari suara-suara Ketua Pemuda UMNO dengan kepimpinan DAP.
Anwar menjadi perdana menteri bermodalkan 31 MP dari 222 MP dalam Parlimen. Atas sebab itu semasa awal pembentukan Kerajaan Campuran beliau sering berlindung di bebayang Istana Negara. Modalnya ialah kerajaan campuran atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Modal itu juga yang dijaja oleh penjilat serta pengampunya. Dengan itu beliau mengharapkan pihak pembangkang akan merasa cuak lagi takut dengan cemeti Istana Negara. Maka selamatlah Anwar sebagai PMX sehingga hari ini.
Datuk Seri Amirudin Shaari menjadi Menteri Besar Selangor bukanlah atas kejayaan PKR Selangor memenangi kerusi yang banyak semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Memang PH memerintah Selangor kerana telah memenangi 32 kerusi DUN Selangor dari jumlah 56 semuanya.
Daripada jumlah itu yang terbesar adalah DAP yang memenangi 15 DUN Selangor. PKR hanya menang di 12 DUN Selangor, manakala Amanah menyumbangkan 5 kerusi DUN Selangor.
Jadi jelas, bahawa Amirudin 'bertenggek'di kerusi MB atas ihsan DAP. Bukan atas kekuatan PKR. Barangkali atas kekuatan itulah ramai diantara ADUN DAP menjadi sombong lagi bongkak di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor. Ini jelas dari tindak-tanduk wakil mereka seperti ADUN Seri Kembangan iaitu Wong Siew Ki dan Speaker Dewan iaitu Lau Weng San.
Kesombongan DAP dalam Dewan Undangan Negeri Selangor jelas dari perlakuan Wong Siew Ki, yang secara terang-terang tidak menghormati Sultan Selangor yang bertitah semasa merasmikan Dewan Undangan Negeri. Semasa membahas titah Tuanku, beliau dengan angkuh mengatakan merasa amat dukacita kerana Tuanku tidak mahu terdapatnya kandang babi di Selangor.
ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin membantah dengan keras atas ucapan itu. Kemudian Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menyokong bantahan daripada ADUN Taman Medan itu. Dewan menjadi kecoh kerana jumlah PH lebih ramai. Speaker Dewan iaitu Lau Weng San telah menghalau Dr Afif dari Dewan serta digantung 3 hari. Seorang ADUN yang biadab dipertahankan. Seorang ADUN yang mahu mempertahankan maruah Dewan dan Tuanku Sultan Selangor dihalau dari Dewan.
Begitu juga dengan kedudukan MB Negeri Sembilan iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun. Kedudukannya bersandar pada kekuatan DAP yang membolehkan PH membentuk Kerajaan Negeri Sembilan, selain mendapat dukungan UMNO. PH Negeri Sembilan hanya ada 17 kerusi DUN.
DAP menang 11 kerusi, manakala PKR hanya 5 kerusi dan Amanah mempunyai 1 kerusi, manakala UMNO menang 14 kerusi dan PN kuasai 5 DUN. Sebab itu, bila UMNO menarik sokongan, Kerajaan PH Negeri Sembilan bukan sahaja goyah malah telah roboh.
Akhirnya DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun dan penamaan calon pada 18 Julai 2026. Hari mengundi pada 1 Ogos 2026.
Ringkasan kedudukan kerusi di Negeri Sembilan:
DAP PKR AMANAH UMNO PN
11 5 1 14 5
Daripada gambaran di atas jelas bahawa PKR tiada 'State Base' atau Negeri Kubu. Biarpun wakil PKR menjadi MB di Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi kedua-dua negeri itu bukan kubu mereka. Usia atau nyawa MB PKR di kedua-dua negeri tersebut bergantung kepada DAP.
Begitu juga kedudukan Anwar dalam Kerajaan Persekutuan, semuanya bergantung kepada ihsan DAP. Selain itu, usia jawatan perdana menteri Anwar turut ditentukan oleh UMNO/BN (30) dan GPS (23).
Sejarah politik Malaysia menunjukkan, mana-mana parti yang tidak mempunyai 'State Base' atau Negeri Kubu, biarpun pada mulanya berkuasa, tetapi akhirnya menguncup dan menjadi parti nyamuk. Sudah banyak kali penulis membicarakan soal ini.
Begitupun, penulis ingin mengingatkan kepada pendukung PKR, bahawa parti anda sedang menuju ke jalan tersangat sukar kalau pun tidak menuju sakaratulmaut. Mengapa? Tidak mungkin? Tidak percaya?
Jujurlah melihat nasib mana-mana parti yang kehilangan 'State Base' atau Negeri Kubu, biarpun pada mulanya memerintah negeri. Contoh terbaik adalah MCA dan Gerakan. Sejak merdeka, Pulau Pinang dikuasai oleh MCA. Bila MCA tewas kepada Gerakan pada 1969 serta hilang jawatan ketua menteri, maka pengaruh MCA terhadap pengundi Cina terus menirus.
Begitu juga yang menimpa nasib Gerakan. Biarpun mengambil alih kepimpinan Pulau Pinang daripada MCA pada 1969 tetapi tewas pada PRU 2008 kepada DAP. Gerakan bukan sahaja hilang kerusi ketua menteri, malah parti itu terus berkelana hingga ke hari ini.
Kini MCA dan Gerakan mengharapkan kepada rakannya dalam pakatan atau gabungan yang disertai. agar memberi mereka bertanding di kerusi yang majoriti pengundinya adalah Melayu. Begitulah daifnya MCA dan Gerakan pada masa ini selepas kehilangan 'State Base' atau Negeri Kubu mereka.
Nasib yang menimpa MCA dan Gerakan ini akan melanda PKR. Parti di mana presidennya sedang menjadi perdana menteri akan menghadapi jalan sukar penuh berduri selepas PRU 16 nanti. Ramai yang percaya, keputusan PRU 16 nanti tidak memihak kepada PH.
Kegagalan PH, terutama Anwar dalam memenuhi janji-janjinya sebelum dan semasa PRU 15 tidak diampun oleh para pengundi. Bukan sahaja pengundi Melayu menolak PH, malah pengundi bukan Melayu sedang membuktikan mereka sudah muak terhadap PH. Rata-rata pengundi Melayu atau bumiputera bukan sahaja muak malah menyampah kepada PMX serta PH.
Penolakan pengundi Sabah pada PRN lepas terhadap calon-calon PH, sebagai bukti yang jelas apa sahaja yang dijaja oleh PH tidak dipercayai malah dilempar jauh. Natijahnya, PKR menang satu kerusi dan DAP ruyup dengan tidak memenangi sebarang kerusi termasuk general-general mereka. Calon PKR yang menang di Melalap iaitu Datuk Jamawi Jaafar, bukanlah anggota asal PKR sebaliknya dari UMNO. Apakah PKR boleh bertahan atau berkubur di Sabah di masa hadapan?
Keputusan PRN Johor, telah menjelaskan kedudukan PH pada pengundi Johor. Gambaran penolakan pengundi Johor, sedikit sebanyak mewakili pengundi di Tanah Melayu. Bukan semata-mata orang Melayu yang menolak, sebaliknya orang bukan Melayu turut bersama orang Melayu memukul keyakinan pemimpin serta pendukung PH Johor. Kalau kesan keputusan PH di Sabah sangat mengaibkan PH termasuk Anwar, begitulah dengan keputusan PRN Johor.
Sekali lagi PKR tinggal satu kerusi di DUN Johor. DAP dari 10 tinggal 6 kerusi. MCA dapat menambahkan jumlah kerusinya dari 4 kepada 8. MIC menambah dari 3 kepada 4 kerusi DUN, manakala UMNO telah menang 36 kerusi iaitu pertambahan 3 kerusi DUN. Menjadikan BN menguasai 48 dari 56 di DUN Johor.
Ringkasan perbandingan kedudukan kerusi DUN Johor selepas PRN 16 seperti berikut:
PKR DAP MUDA UMNO MCA MIC
PRN15 5 10 1 33 4 3
PRN16 1 6 0 36 8 4
Pengundi di Negeri Sembilan akan mengundi pada 1 Ogos nanti. Begitupun penganalisis politik merumuskan bahawa Kerajaan PH Negeri Sembilan akan tumbang pada 1 Ogos nanti. Dijangkakan BN-PN akan memenangi antara 22 hingga 24 kerusi DUN. Lebih menarik bila Dr Ong Kian Ming, mantan MP Bangi meyimpulkan bahawa BN-PN boleh menang antara 23 hingga 24 kerusi dlm PRN Negeri Sembilan.
Malah beliau turut merasakan Anthony Loke boleh tersungkur di Chennah, begitu juga dengan nasib Aminuddin di Linggi. Beliau turut memberi pendapat bahawa mungkin PKR boleh menang satu kerusi. Sekiranya kajian serta bacaan Kian Ming itu tepat, maka PKR Negeri Sembilan membawa lara dengan menjijing satu kerusi untuk diserahkan kepada Anwar, sebagai Presiden PKR.
Penulis telah membuat kajian tentang kedudukan PKR di Negeri Pahang dan PH. Di Pahang UMNO memiliki 17, begitu juga Pas menang 17 kerusi DUN. Selebihnya 8 kerusi dikuasai oleh PH, di mana PKR punyai 2 kerusi iaitu di Semambu dan Teruntum. Hasil kajian, bahawa kerusi PKR di Semambu akan dirampas secara mudah oleh calon BN-PN pada PRU 16 nanti. Itupun sekiranya BN-PN kekal bersepakat sehingga PRU tersebut.
Pada PRU 15 lepas, calon PKR iaitu Chan Chun Kuang menang dengan majoriti 1804 dalam pertandingan 4 penjuru. Beliau memperolehi 18,902 undi, manakala Zulfadli dari PAS memperolehi 17,093, Khairul dari UMNO dapat 10, 422 dan Dr Rashidah dari pejuang 820.
Komposisi pengundi adalah Melayu 60.8 peratus, Cina 29.5, India 8.3 dan lain 1.3. Kesimpulannya, pada PRU 16 nanti PKR mungkin hanya mampu bertahan di Teruntum. Bermakna di Pahang, PKR hanya mampu meninggalkan sebuah nisan, tidak lengkap untuk kubur bagi orang Islam.
Di Perak, PH memenangi 24 kerusi, dengan DAP menguasai 18, manakala PKR dan Amanah masing-masing memenangi 3 DUN. DUN dimenangi oleh PKR ialah Hulu Kinta, Tualang Sekah dan Teja.
Sekiranya kekal BN-PN berpakat menghadapi PH dalam PRU 16 nanti, berkemungkinan besar PKR hanya tinggal satu kerusi di DUN Negeri Perak iaitu DUN Teja. Dua lagi kerusi yang dimiliki oleh PKR pada masa ini akan dirampas oleh BN-PN iaitu Hulu Kinta dan Tualang Sekah.
Di Hulu Kinta, calon PKR, Muhamad Arafat memperolehi 22,200 manakala Puteri Holijah dari PN mendapat 18,057. Mazlan dari BN mendapat 16,224 dan Murugiah, bebas dapat 437. Calon PKR menang dengan majoriti 4,163. Komposisi pengundi ialah Melayu 56 peratus, Cina 28, India 15 dan lain 0.1. Sekiranya kekuatan undi UMNO dan PN digabungkan, biarpun hilang 6,000 pergi kepada calon PKR, kerusi tersebut masih mampu dirampas daripada PKR.
Kerusi Tualang Sekah juga akan dirampas oleh PRU BN-PN. Lihat keputusan yang lepas, di mana calon PKR hanya menang dengan majoriti yang tipis iaitu 253 undi. Calonnya, Mohd Azlan Helmi memperolehi 8,025 undi, manakala Pazli Abdullah Sani, calon PN mendapat 7,772. Calon BN iaitu Abdul Rahman mendapat 7524. Komposisi pengundi ialah Melayu 64 peratus, Cina 24, India 11 dan lain-lain 0.1
Menyusur dari Sabah, PKR menang 1 kerusi. Di Johor 1 kerusi. Di Negeri Sembilan dijangka 1 kerusi. Kemungkinan besar untuk Pahang dan Perak pada PRU 16, PKR hanya bertahan dengan satu kerusi. Apakah PKR turut tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRN Melaka kali ini, seperti mana keputusan PRN Melaka pada 2021?
Di Pulau Pinang daripada 5 kerusi DUN yang dimiliki oleh PKR, mungkin satu menghadapi jalan sukar pada PRU 16 nanti iaitu Batu Maung. Biarpun majoriti pada PRN lepas sebanyak 3,221.
Selangor memberi harapan yang tinggi kepada PKR untuk bertahan. Dari 12 kerusi yang ada sekarang, hanya 5 kerusi DUN yang terpaksa menghadapi kekuatan BN-PN pada PRU 16 nanti. Kerusi-kerusi itu ialah Tanjung Sepat, Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa, Kuala Kubu Baharu dan Sungai Tua.
Komposisi pengundi mengikut kaum adalah seperti berikut :
Komposisi Kaum
DUN Melayu Cina India Lain-lain
Sungai Tua 63 23 13 1
Kuala Kubu Baharu 53 33 13 1
Bukit Antarabangsa 58 27 13 2
Lembah Jaya 64 23 11 2
Tanjung Sepat 58 32 8 2
Sekiranya kedudukan PKR di negeri yang dibincangkan kekal begitu, maka tentulah parti itu akan menghadapi jalan yang sukar untuk menjadi sebuah parti yang kuat lagi berpengaruh.
Apatah lagi apabila Kerajaan Madani PH ini akan tumbang pada PRU 16 nanti. Kemungkinan besar PH akan kehilangan semua kerusi Parlimennya di Sabah dan Sarawak. Di Sabah PH ada 3 MP iaitu satu dari PKR di Sepanggar dan 2 DAP iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan, manakala di Sarawak ada 6 MP, iaitu 5 dari DAP dan satu dari PKR. PKR menang di Miri, manakala DAP menang di Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang dan Mas Gading.
Berdasarkan kajian PKR sendiri yang terbocor, mengakui hanya 7 kerusi sahaja yang dianggap selamat di Tanah Melayu. Difahamkan empat dari kerusi itu adalah penyokong Rafizi Ramli. Itu bermakna, pihak PKR sendiri tidak meyakini kerusi-kerusi selain 7 tersebut dapat dipertahankan semasa PRU 16 nanti.
Dalam bahasa yang mudah, bahawa Kerajaan Madani akan tumbang semasa PRU16 nanti. Apakah PKR mampu bertahan di sepuluh kawasan Parlimen yang dikuasainya pada masa ini? Dapatkah PH memenangi separuh daripada 40 kerusi yang dimenanginya pada PRU15?
Selepas runtuhnya Kerajaan Madani pada PRU 16, apakah PKR boleh bertahan? Bagaimana kalau Kerajaan PH Selangor juga roboh diterpa badai BN-PN?
Pastinya, PKR akan menuju kehancurannya. Siapa di kalangan kepimpinan PKR yang mampu memikul tanggungjawab untuk memulihkan semangat penyokong serta pendukung yang mulai lumpuh?
Adakah Nurul Izah yang sekarang, seolah-olah menjauhkan diri? Adakah Amirudin, Aminuddin, S. Ramanan atau Chang Lih Kang yang menjadi Naib Presiden PKR. Atau masih diharapkan kepada Anwar?
Bagaimana, kalau selepas tewas dalam PRU16 nanti Anwar terpaksa naik turun mahkamah melalui kes Yusof Rawther. Atau kes-kes lain yang sedang menunggu. Sekiranya, Anwar kembali ke penjara, apakah Nurul Izah sanggup keluar dari sarang persembunyiannya bagi memikul bebanan yang mungkin tidak terpikul olehnya. Sanggupkah beliau berbuat seperti orang bebal - tiada beban batu digalas.
Apakah Amirudin, akan bebas lepas untuk memimpin PKR yang hampir lumpuh selepas tewas semasa PRU16. Lebih teruk kalau beliau tidak lagi menjadi MB, bila Kerajaan Negeri PH Selangor turut runtuh. Nama Amirudin pernah dikaitkan dengan keraguan dalam projek Selangor Maritime Gateway.
Dikaitkan dengan Landasan Lumayan Sdn Bhd yang melibatkan Vincent Tan, Berjaya Land Berhad milik Vincent Tan. Dipersoalkan bagaimana usahasama antara Kerajaan Selangor dengan Berjaya Land Berhad, berakhir dengan Landasan Lumayan Sdn Bhd hanya mendapat 45 peratus dan Berjaya Land Berhad mendapat 55 peratus? Sedangkan tanah 600 ekar itu milik Kerajaan Selangor yang terlibat dalam usahasama tersebut.
Bersediakah Aminuddin meneruskan perjuangan PKR yang telah ditolak dalam PRU 16 nanti? Mampukah beliau bekerja keras, kiranya beliau tidak lagi menjadi MB Negeri Sembilan?
Bebas lepaskah R Ramanan untuk bekerja kuat bagi memulihkan PKR selepas tewas dalam PRU 16 nanti? Sebenarnya, R Ramanan bukanlah seorang kepimpinan yang digemari di dalam PKR seperti Rafizi Ramli. Selain itu, beliau telah disebut oleh Rafizi sebagai ‘Mr R’ yang dikaitkan dengan wang RM 9.5 juta. Dia dituduh menerima wang tersebut bagi menyelesaikan kes ‘Mafia Korporat’.
Beliau tidak menyaman Rafizi, biarpun sebelum itu menggertak sesiapa yang mengaitkan namanya dengan Victor Chin, akan disaman. Apakah nanti S Ramanan akan diheret ke mahkamah selepas Kerajaan Madani runtuh? Masa akan menentukannya.
Bersandarkan kedudukan di atas, adalah terlalu sukar untuk PKR kembali menjadi parti yang berpengaruh. Telah dijelaskan PKR tiada 'State Base' atau Negeri Kubu. Sudahlah begitu, ADUN PKR telah banyak yang lara di dalam PRN. Semasa PRU16 nanti ADUN PKR masih kini akan jatuh seperti nangka busuk.
Selepas Kerajaan Madani rebah dan ramai kepimpinannya terpaksa naik turun mahkamah, tentulah nasib PKR seperti pepatah – Sudah jatuh ditimpa tangga. PKR akan menjadi parti nyamuk, akan berkelana membawa lara sebelum terlempar ke bakul sejarah.
*Penulis ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman, penganalisis dan penulis buku politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
