Robot ‘turun protes’ desak AI dikawal

WARSAW - Kira-kira 30 robot ‘turun ke jalanan’ di Warsaw, Poland pada Isnin dalam demonstrasi luar biasa bagi mendesak kawal selia kecerdasan buatan (AI) ketika kebimbangan meningkat terhadap teknologi itu yang berpotensi menggantikan pekerjaan manusia.
Robot berkenaan membawa bendera, ‘melaungkan’ slogan dan berarak di hadapan Kementerian Hal Ehwal Digital Poland dalam protes anjuran Democratism, sebuah inisiatif yang mahu mencetuskan perdebatan mengenai kesan AI dan robotik terhadap pasaran pekerjaan.
Antara slogan yang dimainkan menerusi pembesar suara ialah 'Pertahankan pekerjaan', 'Masa untuk peraturan' dan 'Jangan tunggu, kawal selia'.

Demonstrasi itu melibatkan pelbagai jenis robot termasuk humanoid berkaki dua dan robot berkaki empat menyerupai anjing.
Salah sebuah robot humanoid dikuasakan AI, Agibot A3 berkata, kehadiran robot dalam demonstrasi itu bertujuan menunjukkan bahawa teknologi berkenaan bukan lagi sesuatu yang hanya wujud pada masa depan.
“Robot yang berada di sini bertujuan menunjukkan bahawa teknologi ini sudah menjadi realiti,” katanya.
Bimbang manusia digantikan
Penganjur, Grzegorz Kulis berkata, kebimbangan utama adalah kemungkinan manusia digantikan robot humanoid dalam pekerjaan fizikal, selain AI mengambil alih tugas yang memerlukan keupayaan kognitif.
“Jika kita tidak bertindak sekarang, kita mungkin berdepan masalah tidak lama lagi,” katanya sambil menggesa peraturan diwujudkan sebagai perlindungan kepada pekerja.

Menurutnya, demonstrasi menggunakan robot juga bertujuan menunjukkan sejauh mana kemampuan teknologi tersebut sudah berkembang.
“Robot ini sudah boleh bergerak dengan bebas, malah sekarang mereka sudah ‘memprotes’,” katanya.
Demonstrasi berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Digital Poland, Krzysztof Gawkowski yang hadir ke lokasi dan bertemu penganjur.
Beliau mengakui model AI yang tidak terkawal dan digabungkan dengan robot humanoid boleh menjadi masalah besar ketika teknologi robotik terus berkembang.

Pada Julai lalu, Presiden Poland, Karol Nawrocki menandatangani undang-undang bagi melaksanakan Akta AI Kesatuan Eropah (EU) di negara itu.
Langkah tersebut turut mewujudkan sebuah badan nasional yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan EU berkaitan AI. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

