Suhu luar biasa di sebalik runtuhan glasier Nepal?

Banjir dahsyat itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk dan meragut hampir 1,400 nyawa.
Banjir dahsyat itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk dan meragut hampir 1,400 nyawa.
A
A
A

PARIS – Bahagian Gunung Langtang Lirung yang runtuh hingga mencetuskan banjir dahsyat di Nepal dan China pada 26 Ogos lalu mencatatkan suhu luar biasa.

Analisis data meteorologi oleh ketua saintis organisasi penyelidikan bebas Berkeley Earth yang berpusat di California, Robert Rohde mendapati purata bacaan di kawasan glasier pada ketinggian 5,200 meter itu dianggarkan mencecah sekitar lima darjah Celsius antara 21 hingga 26 Ogos.

Suhu itu dianggap tidak normal kerana rekod cuaca biasa tidak pernah melebihi empat darjah Celsius bagi tempoh sama sepanjang lebih 55 tahun lalu.

Setakat ini, belum ada bukti yang mengesahkan hubungan langsung antara suhu tinggi dengan kejadian runtuhan tersebut.

Di lokasi kejadian, suhu purata sepanjang enam hari berturut-turut itu dikatakan meningkat kira-kira 1.8 darjah Celsius berbanding paras pada pertengahan abad ke-20.

Pencairan ais di banjaran Himalaya semakin pantas akibat perubahan iklim.
Pencairan ais di banjaran Himalaya semakin pantas akibat perubahan iklim.

Menurut kiraan Rohde, corak suhu seperti itu tanpa tambahan haba berkemungkinan hanya berlaku sekali dalam tempoh beberapa ribu tahun akibat perubahan iklim.

Berdasarkan analisis AFP terhadap data balai cerap Copernicus Eropah yang dicatatkan sejak 1970, kejadian itu berlaku ketika kawasan Langtang Lirung mencatatkan musim panas keempat dengan suhu tertinggi dalam rekod.

Artikel Berkaitan:

“Suhu melampau itu turut menyebabkan pencairan permafros, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan cerun dan glasier,” kata ahli klimatologi Perancis, Valerie Masson-Delmotte.

Permafros berfungsi seperti 'simen ais' yang mengikat batuan pada permukaan gunung. Apabila ia mencair, struktur batuan menjadi lebih tidak stabil dan mudah runtuh.

Kajian diteruskan

Imej satelit turut menunjukkan pencairan salji yang ketara beberapa hari sebelum bencana itu berlaku. Keadaan tersebut menghasilkan sejumlah besar air hasil pencairan salji yang dipercayai meresap ke dalam rekahan gunung, sekali gus mencetuskan tanah runtuh.

Bagaimanapun, pakar masih belum membuat kesimpulan untuk menentukan sejauh mana gelombang haba menyumbang kepada kejadian tersebut.

“Ia tidak semudah mengatakan suhu tinggi menjadi punca kejadian dahsyat itu. Jika suhu bertindak sebagai pencetus, kemungkinan besar gunung berkenaan sudah berada dalam keadaan sangat tidak stabil sebelum akhirnya runtuh,” kata ahli geomorfologi Universiti Grenoble Alpes Perancis, Kristen Cook.

Sebahagian besar perkampungan di Lembah Trishuli yang lenyap ditelan lumpur tebal akibat runtuhan tersebut.
Sebahagian besar perkampungan di Lembah Trishuli yang lenyap ditelan lumpur tebal akibat runtuhan tersebut.

Penyelidik kini meneliti pergerakan kecil yang dikesan pada gunung tersebut sejak beberapa tahun lalu termasuk kaitannya dengan perubahan suhu.

Menurut Rohde, bukti bahawa struktur batuan berhampiran kawasan rekahan menjadi lemah dengan ketara akibat pencairan salji, ais atau permafros akan menjadi 'bukti kukuh' untuk mengaitkan kejadian tersebut dengan perubahan iklim.

Difahamkan, analisis suhu tersebut menggunakan data daripada model iklim ERA5 di bawah program Copernicus dan rangkaian 14 stesen cuaca altitud tinggi yang terletak antara sembilan hingga 140 kilometer dari lokasi asal glasier yang runtuh. - AFP

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!