Karakter itu sudah ada

AB GHANI
AB GHANI
A
A
A

DATUK Ab Ghani Hassan membina perjalanan panjang dalam bola sepak daripada seorang pemain hingga ke pentadbiran, sebelum kini dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perjalanan itu turut mendapat pengiktirafan bekas legenda Sarawak era 1980-an dan awal 1990-an, Abdul Jalil Ramli, apabila menyifatkan karakter Ab Ghani hari ini sebenarnya sudah terserlah sejak bersama-sama berjuang di padang.

Menurut bekas tonggak tengah Ngap Sayot itu, pengalamannya beraksi bersama Ab Ghani ketika bermain untuk Negeri Sembilan suatu ketika dahulu membolehkannya melihat sendiri keperibadian serta sikap yang dimiliki calon Presiden FAM berkenaan.

Katanya, Ab Ghani bukan sahaja mudah disenangi rakan sepasukan, malah memiliki disiplin tinggi dan semangat juang yang tidak mudah luntur.

“Semasa kami bersama-sama bermain walaupun berlainan pasukan dahulu, beliau memang seorang yang mempunyai karakter yang baik dan disenangi semua orang.

“Tidak mudah juga untuk melawan beliau di atas padang kerana beliau bermain sebagai penyerang.

“Beliau seorang yang berdisiplin dan satu perkara yang saya masih ingat tentang dirinya ialah semangatnya yang tidak mudah berputus asa, terutama ketika pasukannya sedang jatuh dan mahu bangkit semula,” katanya.

Jalil berkata, keperibadian Ab Ghani, sama ada dalam mahupun di luar padang, menjadi antara asas yang membentuk perjalanan beliau selepas meninggalkan dunia permainan untuk terus menabur bakti dalam pentadbiran bola sepak.

Beliau berkata, perkembangan karier bekas rakan seperjuangannya itu sehingga ke tahap pencalonan Presiden FAM merupakan satu perjalanan yang membanggakan, apatah lagi Ab Ghani mengharungi pelbagai peringkat dalam bola sepak, daripada pemain kepada pentadbir.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengalaman luas tersebut pastinya memberikan perspektif tersendiri kepada Ab Ghani dalam memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi industri bola sepak negara.

“Sudah tentu saya berasa bangga dan berbesar hati melihat perjalanan beliau kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.

“Daripada seorang bekas pemain, kemudian beliau melalui perjalanan dalam dunia pentadbiran bola sepak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum menjadi Presiden MFL.

“Sekarang beliau sebagai calon Presiden FAM dan bagi saya, ia satu perjalanan yang cukup membanggakan.

“Saya percaya dengan peribadi, disiplin dan komitmen tingginya sebagai bekas pemain sebelum ini, sedikit sebanyak membantunya menerajui organisasi bola sepak terbesar tanah air,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!