'Saya ingat sudah mati' - Pemain bola sepak kongsi detik cemas dipanah petir

TUMPAT – Seorang pemain bola sepak pasukan Sam Colt yang berasal Pengkalan Kubor di sini dan terselamat dalam insiden petir menyambar padang di Stadium Santiphap, Sungai Golok, Thailand pada Selasa mengakui menyangka saat itu adalah pengakhiran hidupnya.
Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, berkata, kejadian yang mengorbankan seorang pemain Thailand dari Yala FC, Sofwan Awae, 24, serta menyebabkan 11 pemain lain cedera itu menjadi pengalaman paling mengerikan pernah dilaluinya.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada kira-kira dua meter di hadapan mangsa yang maut akibat dipanah petir.
“Perlawanan separuh akhir Piala Persatuan Bola Sepak itu bermula pada jam 4 petang waktu Thailand dan kira-kira 10 minit selepas babak kedua bersambung, cuaca mula berubah.
“Sekitar 5.15 petang, awan makin gelap, angin bertiup kencang dan kilat mula sabung-menyabung sebelum hujan turun,” katanya kepada pemberita di Kampung Tujuh, Pengkalan Kubor di sini pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Sofwan yang berasal dari Daerah Waeng, Narathiwat, Thailand itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kejohanan bola sepak tempatan itu terbuka kepada penyertaan pasukan dari pelbagai wilayah di Selatan Thailand dan Malaysia.
Mohamad Alif berkata, sebaik petir menyambar, dia terus rebah ke atas padang dan hilang kesedaran.
“Pada mulanya saya sangka ada orang memukul kerana hanya kepala terasa sakit. Apabila sedar semula, kepala saya berpusing dengan teruk.
“Dalam keadaan separuh sedar, saya terdengar orang di sekeliling meminta saya mengucap dua kalimah syahadah sebelum saya pengsan sekali lagi. Ketika itu saya rasa macam dah mati dan diberi peluang untuk hidup semula,” katanya.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, walaupun masih dalam keadaan lemah, dia sempat melihat mangsa terbaring di atas padang.
“Saya hanya mengenali mangsa sebagai rakan dalam dunia bola sepak. Dia seorang pemain yang baik,” katanya.
Menurutnya, dia dibawa ke Hospital Sungai Golok sejurus kejadian sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu kira-kira jam 8 malam untuk rawatan lanjut.
Katanya, selepas menjalani pemeriksaan, dia dibenarkan pulang kira-kira jam 8 pagi pada Rabu apabila doktor mengesahkan tidak mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, bapanya, Zulkifli Hamzah, 51, berkata, keluarganya hanya mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan daripada adik Mohamad Alif sebaik selesai menunaikan solat Maghrib.
“Kami dimaklumkan Alif dipanah petir ketika perlawanan dan sangat terkejut serta terus bergegas ke Sungai Golok.
“Sepanjang perjalanan kami hanya mampu berdoa supaya Alif berada dalam keadaan selamat,” katanya yang berniaga makanan di Pantai Tujuh.
Mohamad Alif pernah menyarung jersi Kelantan FA dalam saingan Piala Presiden pada 2022 sebelum mewakili pasukan sama dalam Piala Presiden dan Liga Premier pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

