Tunjuk dompet, sarung telefon baharu sebelum pergi selamanya

Muhammad Aqil menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham rakannya itu ketika bercuti bersama baru-baru ini.
Muhammad Aqil menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham rakannya itu ketika bercuti bersama baru-baru ini.
A
A
A

GEORGE TOWN – Dompet, sarung telefon dan 'power bank' yang baharu dibeli hasil titik peluh bekerja sambilan ketika cuti semester menjadi antara perkara yang dikongsikan Allahyarham Mohamad Nazhif Faris Mohd Fauzi, 22, kepada rakan-rakannya.

Perkongsian itu merupakan pertemuan terakhir mereka kira-kira dua hingga tiga hari lalu sebelum Mohamad Nazhif Faris pergi buat selama-lamanya.

Lebih meruntun hati, tindakan arwah yang begitu teruja menunjukkan barangan baharu itu disifatkan luar biasa oleh sahabatnya, Muhammad Aqil Yusri, 22, kerana arwah bukan seorang yang lazimnya bercerita atau menunjukkan sesuatu yang dibeli tanpa ditanya terlebih dahulu.

Muhammad Aqil (dua dari kanan) bersama Allahyarham (tengah, berdiri) ketika cuti bersama baru-baru ini.
Muhammad Aqil (dua dari kanan) bersama Allahyarham (tengah, berdiri) ketika cuti bersama baru-baru ini.

Muhammad Aqil berkata, sepanjang hampir lima tahun mengenali arwah sejak 2022, sahabatnya itu lebih dikenali sebagai seorang yang ramah, baik hati dan sentiasa membawa keceriaan kepada orang di sekelilingnya.

Menurutnya, arwah juga seorang yang rajin belajar, suka membantu orang lain dan mudah mesra sehingga sanggup menghulurkan bantuan kepada individu yang tidak dikenalinya.

“Dia seorang yang mempunyai tenaga positif. Kalau kami duduk dengan dia, memang gelak sahaja.

“Biasanya, kalau dia ada barang baharu, dia tidak akan bercerita kepada orang lain melainkan jika orang bertanya atau menyedarinya terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi ketika pertemuan terakhir itu, dia sendiri menunjukkan dompet, sarung telefon dan 'power bank' baharu yang dibelinya kepada kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasatan dan dibawa pula g ke kampung halaman di Kedah.
Jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasatan dan dibawa pula g ke kampung halaman di Kedah.

Mohamad Nazhif Faris Mohd Fauzi, 22, bersama rakan wanitanya maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang, awal pagi Khamis.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri.

Bercerita lanjut, Muhammad Aqil berkata, ketika itu arwah sedang bekerja sambilan sepanjang cuti semester dan barangan berkenaan dibeli menggunakan wang hasil kerjanya sendiri.

Menurutnya, dia bertemu arwah di biliknya di asrama kira-kira dua hingga tiga hari sebelum kejadian sekali gus menjadi pertemuan terakhir mereka.

Muhammad Aqil menambah, dia menerima berita mengenai kejadian yang menimpa sahabatnya itu kira-kira jam 8.30 pagi pada hari kejadian selepas dimaklumkan oleh kakak arwah.

Mengimbas persahabatan mereka, Muhammad Aqil berkata, dia dan arwah mula mengenali antara satu sama lain ketika mengikuti pengajian Diploma Elektromekanikal di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Kulim pada 2022.

Tambahnya, mereka kemudian meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Mekatronik Automatif dan kekal dalam fakulti serta jurusan yang sama.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir lima tahun itu, mereka berkongsi pelbagai kenangan termasuk menghabiskan masa bersama, bercuti dan melalui pengalaman suka duka sepanjang pengajian.

“Kami banyak buat benda bersama-sama. Lepak sama-sama, pergi bercuti sama-sama, susah senang pun bersama. Belajar pun bersama-sama.

“Memang terasa kehilangan seorang sahabat tetapi saya percaya ini sudah takdirnya. Kita tidak boleh terlalu bersedih sebaliknya perlu reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Muhammad Aqil berkata, pemergian arwah pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan yang selama ini terbiasa dengan sikapnya yang ceria dan mudah membuat orang lain ketawa.

Baginya, kehilangan itu bukan sekadar kehilangan seorang rakan sekuliah sebaliknya sahabat yang bersama-sama mengharungi perjalanan kehidupan sejak zaman diploma hingga ke peringkat ijazah.

Muhammad Aqil turut berharap agar pelaku ditahan dan disiasat dengan telus demi keadilan buat rakan baiknya itu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!