UniMAP hasilkan 3,350 cecair pembasmi kuman

Penyelidik UniMAP bersama cecair pembasmi kuman yang berjaya dihasilkan menerusi projek Function of Science yang dikendalikan oleh Global Innovation through Science and Technology (GIST).
Penyelidik UniMAP bersama cecair pembasmi kuman yang berjaya dihasilkan menerusi projek Function of Science yang dikendalikan oleh Global Innovation through Science and Technology (GIST).
A
A
A

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses dan Pusat Kecemerlangan Penggunaan Biojisim bekerjasama menghasilkan 3,350 cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas barisan hadapan dari kategori B40 di negeri Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada projek 'Function of Science' yang dikendalikan oleh Global Innovation through Science and Technology (GIST) yang melibatkan kerjasama beberapa buah universiti untuk membantu meringankan beban petugas yang berkhidmat menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Menerusi program tersebut katanya, kesemua universiti terlibat menerima tajaan bahan mentah daripada badan-badan korporat antaranya Lendlease, Yayasan MRCB, Tessolve Semiconductor, WWRC, Mayplas Packaging, Apical Scientific, MITR Mediservice dan Acme Chemicals.

“Di utara, UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara universiti yang terpilih untuk menyediakan produk cecair pembasmi kuman tersebut selain Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Keseluruhan kandungan cecair yang dihasilkan telah diselaraskan di kesemua universiti dan mematuhi garis panduan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya melalui suatu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Prof R Badlishah berkata, UniMAP amat berbesar hati untuk menyumbang tenaga kerja sukarela dan fasiliti dalam menghasilkan cecair berkenaan.

"Ia juga ternyata bertepatan dengan cogan kata universiti iaitu Kejuruteraan dan Teknologi untuk Kemanusiaan.

"Para penyelidik juga menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan cecair tersebut dan pada masa sama menerapkan elemen kemanusiaan melalui edaran bahan tersebut secara percuma, terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih juga buat kerajaan yang memberi kelonggaran kepada universiti untuk terus menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan Covid-19 ini. Meskipun bertugas, para penyelidik UniMAP tetap mengutamakan penjarakkan sosial," katanya.

Sementara itu, Pengarah GIST, Encik Murali Prasad berkata, program tersebut dimulakan selepas mendapati kesukaran mendapatkan bekalan cecair terbabit di pasaran sebaik sahaja PKP dilaksanakan.

“Ini merupakan inisiatif termudah yang mampu kami laksanakan khusus untuk menghargai petugas barisan hadapan dan masyarakat yang memerlukan,” katanya.