Pesona drama pendek AI

PAK Suria, Bu Nadia, Ethan terbaru kisah Nora dan Luca, ini merupakan nama watak-watak drama pendek dihasilkan menerusi kecerdasan buatan (AI) yang memenuhi wall media sosial kebelakangan ini.
Berdurasi antara 10 hingga 20 minit satu episod, ia menjadi pilihan orang ramai yang dapat menonton pelbagai kisah kehidupan dengan lebih santai.
Merak Jalanan pun perasan, ada cerita yang memang menarik seperti diadaptasi dari kisah benar terutama membabitkan perselisihan keluarga, perebutan harta serta cinta.
Sebenarnya plot cerita sudah boleh kita agak bagaimana pengakhirannya, tetapi disebabkan ia adalah medium baharu dalam bidang produksi, segala-galanya nampak menarik.
Ada di antara kita yang menonton sambil menunggu LRT, ada yang asyik ketika sedang menghirup kopi malah ada yang melayan semua cerita ini tidak kira hasilan dari negara seberang mahu pun ciptaan barat ketika hendak tidur. Merak Jalanan pun terjebak juga.
Daripada situ, Merak Jalanan terfikir, apakah ini juga transformasi dalam dunia drama serta filem.
Sebelum ini kecoh mengenai trend lagu-lagu yang dihasilkan AI mendapat tempat di hati peminat seni.
Lalu apa akan jadi dengan penggiat seni yang sebelum ini terbiasa menghasilkan drama petang serta slot selepas berita yang meleret-leret sehingga berpuluh-puluh episod.
Cabarannya tentu ada, apatah lagi, klip AI yang menampilkan pelbagai genre dan kategori drama tidak mempunyai iklan seperti di televisyen.
Kita tidak perlu melihat ia dari sudut persaingan, sebaliknya satu peluang untuk melonjakkan lagi industri dengan menghasilkan karya-karya yang menepati kehendak semasa biarpun ia hasil AI.
Paling penting, inilah masanya kita pastikan kandungan drama pendek hasil pengkarya tempatan pula dan lebih sesuai untuk tatapan umum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
