18,544 kotak makanan diedar di Pulau Pinang

Phee Boon Poh
Phee Boon Poh
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 18,544 kotak bantuan makanan telah diedarkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri ini terutamanya mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, sebanyak 5,237 kotak makanan dihantar di daerah Timur Laut, daerah Barat Daya (2,444), Seberang Perai Selatan (2,111), daerah Seberang Perai Utara (4,871) dan daerah Seberang Perai Tengah (3,881).

Menurutnya, pengagihan pek bantuan makanan ini sedang dijalankan oleh setiap Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pejabat daerah.

"Pengagihan ini akan mengikut senarai nama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agenda Ekonomi Saksama (AES).

"Selaras dengan polisi kerajaan negeri bagi memastikan tiada siapa yang tercicir maka kita minta sekiranya ada penerima yang layak dan tidak mendapat bantuan yang disediakan sehingga hujung minggu ini, mohon menghubungi pejabat saya di talian 04-6505450 untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.

Boon Poh berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa isu yang timbul dalam proses pengagihan kotak makanan selepas maklumat penerima yang telah berpindah ke kawasan dan daerah lain tidak dikemaskini kepada agensi berkenaan.

Selain itu katanya, waris kepada penerima yang telah meninggal dunia tidak mengemaskinikan status terkini kepada agensi berkenaan.

"Selain memberikan bantuan kepada mereka yang telah disenarai, kita juga akan memberikan bantuan ini kepada sesiapa yang benar-benar memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri melalui wakil rakyat kawasan masing-masing," katanya.

Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan sebanyak 20,000 pek bantuan bekalan makanan disediakan kerajaan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan terutama yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kon Yeow berkata, pek berkenaan mengandungi beras, tepung gandum, minyak masak, mee, biskut, minuman coklat, gula dan makanan tin itu diharap akan meringankan beban selain memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin.