Sejarah perlu dibahaskan, bukan direka

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Shaiful Shahidan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Shaiful Shahidan
A
A
A

SEJARAH bukan sekadar cerita tentang masa lalu. Ia ialah usaha memahami manusia, masyarakat, peradaban dan perubahan yang membentuk kehidupan kita hari ini.

Dalam usaha itu, pelbagai pandangan, tafsiran dan perdebatan memang akan wujud.

Hal ini lumrah, malah perlu diraikan. Sejarah yang sihat bukan sejarah yang menutup ruang untuk bertanya, tetapi sejarah yang bersedia dinilai semula melalui bukti, kaedah dan penelitian ilmiah.

Perbincangan awam mutakhir ini tentang beberapa dakwaan sejarah dan arkeologi telah menarik perhatian ramai.

Ada yang melihatnya sebagai usaha mengangkat martabat sejarah tempatan, khususnya kehebatan tamadun Melayu dan Alam Melayu. Ada pula yang mempertikaikan asas bukti, kaedah penyelidikan dan kesimpulan yang dikemukakan.

Kedua-dua reaksi ini wajar difahami secara matang.

Di satu pihak, kita tidak seharusnya mudah memperlekeh usaha untuk membuka ruang kajian baharu.

Banyak aspek sejarah tempatan masih belum diterokai sepenuhnya.

Tapak arkeologi, manuskrip, tradisi lisan, rekod perdagangan dan bukti material di rantau ini masih menyimpan pelbagai persoalan yang belum terjawab.

Artikel Berkaitan:

Ada kemungkinan tafsiran lama perlu diperhalusi atau dinilai semula apabila bukti baharu ditemui. Dalam tradisi ilmu, keberanian mengemukakan soalan baharu ialah sesuatu yang penting.

Namun, keberanian mengemukakan idea mesti disertai tanggungjawab untuk membuktikannya.

Sesuatu dakwaan yang besar memerlukan bukti yang besar dan jelas.

Dakwaan tentang hubungan antara tamadun, pemindahan teknologi, asal-usul sesuatu inovasi, atau pengaruh satu masyarakat terhadap masyarakat lain tidak boleh disandarkan pada petikan terpilih, andaian umum atau persamaan yang bersifat kebetulan semata-mata. Ia perlu dibina melalui rangkaian bukti yang boleh diperiksa oleh penyelidik lain.

Dalam bidang sejarah, kita perlu sentiasa bertanya: Apakah sumber utama yang digunakan? Dari manakah sumber itu diperoleh? Bilakah ia dihasilkan? Siapa penulisnya dan dalam keadaan apakah ia ditulis?

Adakah terdapat sumber lain yang menyokong atau bercanggah dengannya? Lebih penting, adakah tafsiran yang dibuat mengambil kira konteks bahasa, budaya, politik dan zaman sumber tersebut?

Dalam arkeologi pula, penemuan tidak boleh dipisahkan daripada konteksnya.

Sebuah artifak, serpihan seramik, sisa peleburan besi atau struktur bangunan tidak membawa makna dengan sendiri.

Kedudukannya dalam lapisan tanah, hubungannya dengan bahan lain, rekod ekskavasi, analisis makmal, pentarikhan dan perbandingan dengan tapak lain semuanya menentukan sejauh mana sesuatu kesimpulan boleh dibuat.

Tanpa konteks yang lengkap, sesuatu tafsiran mungkin kelihatan menarik tetapi belum tentu kukuh.

Perdebatan yang berlaku juga mengingatkan kita tentang perbezaan antara hipotesis, teori dan fakta.

Hipotesis ialah cadangan awal yang perlu diuji. Ia boleh menjadi pintu masuk kepada penyelidikan yang penting.

Tetapi hipotesis tidak wajar dipersembahkan kepada masyarakat sebagai fakta muktamad sebelum melalui proses pengesahan.

Teori pula ialah penjelasan yang dibina daripada bukti dan diuji berulang kali.

Fakta ialah perkara yang dapat dibuktikan melalui sumber atau pemerhatian yang jelas.

Membezakan tiga perkara ini amat penting, khususnya dalam era media sosial.

Penerbitan ilmiah ialah antara saluran penting untuk memastikan sesuatu dakwaan dapat diuji secara terbuka.

Kajian perlu dihantar ke jurnal berwasit, dibentangkan dalam persidangan akademik atau diterbitkan dalam bentuk yang menjelaskan sumber, kaedah dan batasan kajian.

Proses semakan rakan sekepakaran bukan bertujuan menutup idea baharu. Sebaliknya, ia membolehkan idea itu diperbaiki, dicabar dan diperkukuh sebelum diterima secara lebih meluas.

Kritikan akademik juga tidak seharusnya berubah menjadi serangan peribadi.

Dalam dunia ilmu, yang perlu dinilai ialah hujah, bukti dan kaedah, bukan latar belakang atau niat seseorang.

Kita boleh tidak bersetuju dengan sesuatu dakwaan tanpa menghina individu yang mengemukakannya.

Pada masa yang sama, seseorang yang membawa dakwaan kepada ruang awam perlu bersedia menerima soalan dan kritikan secara profesional. Itulah adab ilmu.

Minat masyarakat terhadap sejarah harus dilihat sebagai sesuatu yang positif.

Polemik yang timbul menunjukkan bahawa rakyat mengambil berat tentang warisan, identiti dan kedudukan sejarah rantau ini. Minat ini perlu terus disuburkan melalui muzium, tapak warisan, dokumentari, penerbitan popular yang berkualiti dan program pendidikan awam.

Para ahli akademik pula perlu memainkan peranan menjelaskan isu yang rumit dalam bahasa yang mudah, tanpa mengorbankan ketepatan.

Kita tidak perlu memilih antara kebanggaan terhadap warisan sendiri dan ketelitian akademik.

Kedua-duanya boleh berjalan bersama. Malah, kebanggaan yang berasaskan bukti lebih kukuh, lebih bermaruah dan lebih tahan diuji.

Sejarah Alam Melayu memang kaya dengan jaringan perdagangan, pelayaran, penghasilan besi, pertukaran budaya dan pembentukan kerajaan awal.

Semua ini sudah cukup penting untuk dikaji dan diangkat tanpa perlu bergantung kepada dakwaan yang belum disahkan.

Akhirnya, sejarah perlu terus menjadi medan perbincangan terbuka. Kita boleh mengemukakan tafsiran baharu, mencabar pandangan lama dan mencari bukti yang belum ditemui.

Namun, kebebasan berfikir mesti bergerak bersama disiplin ilmu.

Menghormati sejarah bermaksud menghormati fakta, sumber, kaedah, bukti dan kesediaan untuk membetulkan pandangan apabila pengetahuan baharu muncul.

*Dr Shaiful Shahidan ialah Ketua Program Sejarah, UKM dan Setiausaha Agung ICOMOS Malaysia (2026-2028).

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!