ABIM kesal ASEAN, PBB gagal tangani penindasan etnik Rohingya

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kesal dengan kegagalan beberapa pertubuhan dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menangani isu kemanusiaan membabitkan pelarian etnik Rohingya sehingga kini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi pelarian etnik Rohingya ke negara luar adalah satu insiden kemanusiaan yang sentiasa berulang tanpa ada perancangan daripada pertubuhan dunia seperti PBB dan ASEAN untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 23 Januari 2020 menerusi 'Provisional Measures' mengiktiraf etnik Rohingya sebagai etnik tertindas yang dinafikan hak untuk memperoleh keadilan.

"Dalam penghakiman itu juga, ICJ mewajibkan Myanmar menghentikan diskriminasi dan penindasan terhadap etnik Muslim Rohingya yang akan membawa kepada jenayah penghapusan etnik.

"Maka ia mengabsahkan kewajipan untuk seluruh masyarakat dunia mengangkat nilai keadilan sejagat dengan membantu memberikan hak dan keadilan buat mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media antarabangsa semalam melaporkan seramai 24 etnik Rohingya maut di atas kapal apabila gagal memasuki perairan Malaysia.

Dalam laporan tersebut juga direkodkan seramai 400 penumpang kapal tersebut dalam kebuluran selepas dua bulan berada di laut.

Justeru, Muhammad Faisal menegaskan sudah tiba masanya Malaysia serta negara ASEAN dan anggota PBB bertindak menyelesaikan masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyelesaian itu termasuk menggesa kerajaan Myanmar mengembalikan kewarganegaraan etnik Muslim Rohingya yang dinafikan di negara itu.

"Bukan bermaksud negara ASEAN campur tangan urusan dalaman negara Myanmar tetapi usaha untuk menegakkan hak golongan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faisal berkata, ABIM juga menggesa negara lain di dunia memberi ruang dan kemudahan kepada pelarian mendapatkan hak saringan dan rawatan bagi wabak koronavirus (Covid-19) tanpa sebarang diskriminasi.

"Kegagalan membantu kelompok ini pasti akan menggagalkan usaha bersepadu warga dunia untuk memutuskan rantaian Covid-19 secara mutlak.

"ABIM juga akan bersama-sama semua pemegang taruh untuk terus bersama membantu etnik Rohingya di Malaysia yang memerlukan pembelaan," katanya.