El Nino paling ekstrem dalam seabad

LONDON - Corak cuaca El Nino dijangka memecah rekod dalam tempoh lebih 100 tahun dan berpotensi menjadikan 2027 sebagai tahun paling panas di dunia, menurut Pejabat Meteorologi Britain (Met Office) pada Jumaat.
Ketua Ramalan Jangka Panjang, Adam Scaife berkata, mereka menjangkakan El Nino dengan intensiti luar biasa dalam tempoh lebih seabad dengan kemuncak suhu melebihi tiga darjah Celsius yang belum pernah direkodkan dalam rekod iklim moden.
Ia bermakna suhu perairan Pasifik dijangka meningkat lebih tiga darjah Celsius berbanding paras normal dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Met Office memberi amaran El Nino luar biasa itu akan menambah tekanan akibat perubahan iklim, selepas Eropah dilanda gelombang haba ekstrem sepanjang musim panas ini.
Menurut data Climate Brink berdasarkan maklumat Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), suhu di rantau Pasifik kini sekitar 2.6 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata bergerak 30 tahun.
“Kita perlu jelas bahawa ia merupakan fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Scaife menerusi blog Met Office.
El Nino lazimnya menyebabkan keadaan lebih kering di Asia Tenggara, Australia, selatan Afrika dan utara Brazil manakala keadaan lebih lembap berlaku di Tanduk Afrika, selatan Amerika Syarikat, Peru dan Ecuador.
Memandangkan fenomena El Nino mendorong peningkatan suhu purata global, seorang lagi saintis Met Office, Nick Dunstone meramalkan 2027 berkemungkinan besar mengatasi 2024 sebagai tahun paling panas pernah dicatatkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

