X

Kindly register in order to view this article
!

Gangguan bekalan air sementara di KL, Selangor

A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi pada jam 11 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihentikan operasi berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun kesemua loji kembali beroperasi pada jam 6.30 pagi ini selepas tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya.

"Ia mempercepatkan aliran (flushing out) air tercemar ke hilir Sungai Selangor sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA tersebut.

"Bagaimanapun, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di beberapa kawasan di tujuh wilayah berikutan penurunan paras kolam-kolam utama di kawasan-kawasan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari hari ini.

Menurutnya, Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat.

"Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!