750 sekolah dapat peralatan pembersihan, perlindungan diri

Ahmad Shukri (kanan) meninjau agihan peralatan itu di Dewan Al-Farabi JPN Kedah, Jalan Stadium hari ini.
Ahmad Shukri (kanan) meninjau agihan peralatan itu di Dewan Al-Farabi JPN Kedah, Jalan Stadium hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menyerahkan peralatan perlindungan dan pembersihan diri bernilai lebih RM2.6 juta kepada 750 sekolah di negeri itu.

Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) JPN Kedah, Ahmad Shukri Shafie berkata, kira-kira 548 sekolah rendah dan 202 sekolah menengah akan menerima peralatan melalui peruntukan daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, pihaknya menyerahkan peralatan kepada sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kedah untuk diagihkan kepada sekolah sebagai persediaan berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

"Antara peralatan dibekalkan ialah alat pengesan suhu, cecair pembasmi kuman, sabun pencuci dan topeng muka demi memastikan seluruh warga sekolah meliputi 333,777 pelajar dan 31,000 guru dihindari Covid-19.

"Melalui agihan peralatan berkenaan, ia diharapkan dapat meningkatkan tahap kebersihan dalam kalangan pelajar dan guru," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa agihan peralatan itu di Dewan Al-Farabi JPN Kedah, Jalan Stadium hari ini.

Katanya, sebagai langkah pasca Covid-19, semua pelajar juga akan dipastikan menjalani pemeriksaan suhu apabila sesi persekolahan dibuka semula.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, mana-mana pelajar yang didapati ada memiliki tanda-tanda tidak sihat akan dinasihatkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Menurutnya, antara lain, pihak sekolah juga diminta menggunakan pembersih tangan, cecair pembasmi kuman dan melakukan penjarakan sosial dalam kelas dengan jarak satu meter.

Artikel Berkaitan:

"Jikalau kelas yang memuatkan antara 30 hingga lebih pelajar tidak muat, maka dewan-dewan, kantin, asrama atau mana-mana bersesuaian di sekolah berkenaan akan digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran," katanya.