X

Kindly register in order to view this article
!

PKP bukan halangan sebar dakwah

Izhar Ariff ketika program Wacana Siri ke-166 bertajuk ‘Adakah ‘New Normal’ akan merubah Malaysia? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19) bukan halangan bagi pendakwah menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Khasim berkata, berdakwah dalam media sosial antara inisiatif yang berkesan dan memberi implikasi positif lebih-lebih lagi dalam perkembangan negara ketika ini.

“Dakwah secara online ini bukanlah perkara baharu kerana selain muncul di televisyen kami mempunyai pasukan yang merakam dan mengambil video secara langsung ceramah atau tazkirah sebelum disiarkan di laman sosial.

“Walaupun tidak berada di masjid dan surau tetapi kami masih boleh menyampaikan dakwah melalui medium ini dengan sebaik mungkin dan terbukti ia memberi impak yang besar dalam menyampaikan ilmu agama.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-166 bertajuk ‘Adakah ‘New Normal’ akan merubah Malaysia? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.

Izhar Ariff yang juga pendakwah berkata, tidak timbul isu penyampaian dakwah di laman sosial ‘membunuh’ tradisi sekali gus menghapuskan keberkatan menuntut ilmu.

“Kita kena faham, kita bukan ingin menghapus cara atau tradisi menuntut ilmu yang diguna pakai sebelum ini. Kalau guna laman sosial untuk dapatkan ilmu dalam bentuk maya, tidak semestinya ALLAH akan tarik keberkatan itu sebaliknya pahala serta ganjaran juga tetap diberikan jika niat kita memang untuk belajar.

“Jadi dalam keadaan sekarang ini, kita jangan sia-siakan untuk mendapatkan ilmu dan kejar keberkatan seperti dijanjikan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan supaya melihat setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan pelajaran perlu dilihat menerusi perspektif pandangan berbeza kerana ALLAH tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

“Walaupun masjid, surau ditutup dan tiada lagi bazar Ramadan pada tahun ini, namun sepanjang waktu ini kita semua dapat memberi fokus kepada amal ibadat selain melaksanakan tugasan harian menerusi pelaksanaan bekerja dari rumah.

"‘Tempoh ini juga wajar dimanfaatkan untuk meluangkan masa dengan keluarga atau anak-anak termasuk menyantuni mereka dengan ilmu agama kerana mungkin sebelum ini kita semua sibuk dengan urusan mencari rezeki,” katanya.

Dari kiri: Azlan Shah, Dr Putri Afzan Maria dan Izhar Ariff ketika program Wacana Siri ke-166 bertajuk ‘Adakah ‘New Normal’ akan merubah Malaysia? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.
Dari kiri: Azlan Shah, Dr Putri Afzan Maria dan Izhar Ariff ketika program Wacana Siri ke-166 bertajuk ‘Adakah ‘New Normal’ akan merubah Malaysia? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.

Katanya, situasi berlaku ini juga memberi memberi peluang kepada suami memimpin solat sunat tarawih di kediaman masing-masing sesuai dengan kedudukan suami sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan ditetapkan syarak.

“Ini peluang untuk kaum ibu menambah pahala dengan menyediakan juadah berbuka untuk keluarga selain memberi peluang kepada kita untuk membantu antara satu sama lain.

“Ini juga mengajar kita agar mentaati pemerintah dengan mengikut arahan yang dikenakan demi kemaslahatan bersama. Kalau kita lihat pada sudut positif, ia akan jadi positif. Kita kena fikirkan kebaikan lebih besar daripada kebaikan sementara,” katanya.

Dalam pada itu, perancangan kewangan yang bijak selain berbelanja mengikut keperluan amat penting berikutan ramai yang terjejas selepas PKP.

Izhar Ariff berkata, di sebalik kesukaran ini ada perkara yang boleh diambil iktibar dan pengajaran untuk diri sendiri serta keluarga terutama dalam soal pengurusan kewangan.

“Justeru itu, kita perlu mengubah gaya hidup yang bersederhana dan berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak kerana keperluan adalah perkara penting untuk kita meneruskan kehidupan.

“Anggap apa yang berlaku ini dalam tempoh darurat, simpanan itu penting kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa pun kita perlu positif, cari jalan terbaik untuk melalui tempoh sukar ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus