Tak mampu berjalan bukan halangan Nur Farrisha dapat 8A

Nur Farrisha bersama ibu dan bapanya selepas mengambil keputusan SPM 2022 di SMK Mak Mandin pada Khamis.
Nur Farrisha bersama ibu dan bapanya selepas mengambil keputusan SPM 2022 di SMK Mak Mandin pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pelajar Murid Berkeperluan Khas (MBK) berjaya memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan pada Khamis.

Nur Farrisha Hashim, 18, yang mengalami masalah genetik merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Mak Mandin memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni, Pengajian Perniagaan, Matematik, Sains dan Sejarah.

Kata anak jati Pulau Pinang itu, walaupun tidak mampu berjalan kerana masalahnya itu, ia tidak menghalang untuk dirinya untuk berjaya setanding rakannya yang lain.

"Saya tiada rahsia dalam mengulang kaji pelajaran, cuma belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan selain menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah.

"Saya belajar selepas waktu sekolah selepas membuat kerja rumah yang diberi guru. Itu sahaja.

"Alhamdulillah berkat doa ibu dan bapa, saya berjaya memperoleh 8A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Walaupun hanya bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda, ia tidak menghalang saya untuk terus berjaya," ketika dihubungi pada Khamis.

Dia yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik tidak pernah menyangka mampu untuk memperoleh semua A dalam mata pelajaran pada SPM bagi tahun lalu.

"Alhamdulillah saya berjaya dapat keputusan cemerlang dan terima kasih kepada semua terutama ibu dan ayah, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang sesi persekolahan di SMK Mak Mandin," katanya lagi.

Nur Faririsha merupakan anak kepada Hashim Ishak, 69, yang juga tukang cuci dan Wan Siah Yusoff, 63, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.

"Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ayah dan ibu kerana banyak berkorban untuk saya selama ini. Mereka sangat gembira dengan kejayaan ini. Setiap hari ayah hantar dan ambil saya dari sekolah dengan menaiki motosikal.

"Alhamdulillah, sepanjang sesi persekolahan, kelas saya terletak di tingkat paling bawah bagi memudahkan pergerakan saya.

"Saya merancang untuk menyambung pelajaran di universiti dalam bidang seni kerana saya memang minat bidang itu sejak kecil. Bagaimanapun, saya belum fikir lagi universiti mana (untuk menyambung pelajaran)," katanya.