Insentif ringankan beban kewangan syarikat air

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air mengumumkan dua insentif bagi mengurangkan beban kewangan syarikat air dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi pengecualian kadar fi tahunan lesen individu kepada pemegang lesen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pendapatan.

Menurutnya, langkah itu akan memberikan penjimatan berjumlah RM24 juta kepada pemegang lesen.

"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memberi penangguhan bayaran sewa pajakan aset air sedia ada untuk tempoh tiga bulan bermula April 2020 melibatkan penangguhan pembayaran berjumlah RM100 juta.

"Penangguhan itu terpakai kepada sewa pajakan ke atas pinjaman bekalan air kerajaan negeri yang diambil alih oleh PAAB melalui inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tuan Ibrahim berkata, PKP memberi kesan kepada kedudukan kewangan syarikat air disebabkan oleh pengurangan permintaan bekalan air oleh sektor industri, komersial dan pengilangan yang dianggarkan sebanyak 60 peratus.

Jelasnya, syarikat air juga terpaksa menanggung kos operasi (OPEX) terutamanya kos pembelian bahan kimia, klorin dan bil elektrik.

"Hal itu berikutan arahan SPAN yang mengarahkan operator air meningkatkan pengedosan klorin dalam air terawat dari 0.2 bahagian dalam sejuta (parts per million - ppm) kepada 0.5 ppm bagi membasmi virus koronavirus (Covid-19)," katanya.

Artikel Berkaitan: