Panduan bangkit daripada ujian

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour 2026 pada 30 Ogos ini dengan mengetengahkan tema 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran yang memasuki tahun ke-12 itu terus menjadi wadah pengisian spiritual sempena Hari Kebangsaan 69 tahun.
Katanya, Malaysia #QuranHour merupakan salah satu program sisipan di bawah Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan, Kementerian Komunikasi.
Menurutnya, tema 'bingkas' dipilih berasaskan gabungan penghayatan Surah al-Muzzammil dan Surah al-Balad yang mengajak masyarakat segera mencari jalan keluar daripada kesusahan tanpa berlama-lama meratapi ujian kehidupan.
“Setiap insan tidak dapat lari daripada kabad iaitu perjuangan, kesusahan dan cabaran hidup yang berterusan sehingga akhir hayat.
“Surah al-Muzzammil memberi panduan membina kekuatan dalaman melalui pembangunan diri seperti solat, tilawah al-Quran, zakat dan perjuangan.
“Manakala Surah al-Balad pula memberi panduan tindakan untuk kita ‘bingkas’ atau bangkit daripada ujian,” katanya.

Marhaini berkata, WUIF mahu menyuntik mesej supaya rakyat tidak terus terperangkap dalam kekecewaan, perbalahan sosial atau keluhan terhadap cabaran semasa termasuk kos sara hidup, tekanan keluarga, kesihatan mental, isu integriti dan keperitan ekonomi.
“Sebaliknya, semua perlu segera bangkit dan bersama membina negara,” katanya.
Beliau berkata, aspirasi Malaysia Sejahtera tidak seharusnya dilihat dari sudut kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan pembentukan insan, keluarga dan komuniti melalui penglibatan aktif setiap warga negara yang merdeka.
Bagi penganjuran tahun ini, kemuncak Malaysia #QuranHour akan berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang di Masjid Al- Sultan Abdullah di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Katanya, meskipun kapasiti fizikal di lokasi berkenaan lebih terhad berbanding lokasi penganjuran sebelum ini seperti Masjid Negara dan Masjid Besi Putrajaya, orang ramai tetap boleh menyertai interaksi al-Quran selama sejam itu menerusi RTM, rangkaian televisyen utama dan platform media sosial.
Malaysia #QuranHour merupakan satu daripada empat acara tahunan anjuran WUIF, selain World #QuranHour, Arafah #QuranHour serta World Quran Convention.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

