HAT Tuanku Mizan siap sedia bantu rawat pesakit Covid-19

Pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja menunjukkan simulasi bagi pengurusan jenazah Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini. - Foto Bernama
Pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja menunjukkan simulasi bagi pengurusan jenazah Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini sudah bersiap sedia untuk dijadikan hospital merawat pesakit koronavirus (Covid-19) sekiranya diperlukan, kata Pegawai Memerintah HAT Tuanku Mizan, Brig Jen Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.

Beliau berkata, setakat ini hospital berkenaan diwartakan sebagai hospital yang tidak mengendalikan kes Covid-19 dan hanya membantu dalam menjalankan ujian sampel pesakit wabak itu.

Menurutnya, segala persiapan termasuk peralatan mengikut prosedur operasi standard daripada Kementerian Kesihatan telah disediakan, namun keputusan untuk menjadikan hospital itu sebagai hospital merawat pesakit Covid-19 bergantung kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan situasi semasa penularan pandemik pada masa akan datang.

"Ketika ini, hospital dan makmal beroperasi 24 jam dengan kekuatan 50 anggota pada satu-satu masa," katanya selepas menyampaikan taklimat kepada pemberita mengenai Prosedur Kesihatan dan Perubatan Covid-19 di hospital berkenaan hari ini.

Menurutnya, hospital berkenaan hanya menjalankan saringan dan ujian calitan kepada pesakit serta merujuk mereka yang positif ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berkata, peranan HAT ketika ini lebih kepada membantu HKL dan hospital sekitar dalam merawat pesakit kategori kecemasan.

"Setakat ini, kami menerima 66 pesakit dari HKL untuk kes kecemasan dan pembedahan pesakit termasuk menyediakan dewan pembedahan dan kepakaran untuk merawat pesakit.

Dr Mohammad Amirrudin berkata, pihaknya turut membantu makmal sedia ada dalam pengujian dan pengesanan sampel pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah menjalankan kira-kira 2,662 sampel ujian pesakit dalam siasatan Covid-19 dengan purata 200 sampel yang diterima setiap hari dari hospital dan pejabat kesihatan daerah serta hospital swasta," katanya. - Bernama