PRN: PKR Johor siap sedia bantu Negeri Sembilan

Wee Tse
Wee Tse
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor bersedia menghantar jentera bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Naib Pengerusi II PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pada PRN tersebut, PKR Johor berkemungkinan akan diminta membantu jentera parti di Negeri Sembilan memandangkan kedudukannya lebih dekat dengan negeri ini.

"Kesemua 26 cabang PKR di Johor sudah diminta bersiap sedia untuk menghantar jentera yang komited dan berpengalaman bagi membantu kemenangan pada PRN.

"Sudah tentu jentera yang dihantar tahu tentang kempen dan pilihan raya kerana sebelum ini Johor sudah melaksanakan PRN dan mereka sudah berpengalaman," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Tebrau pada Rabu.

Wee Tse yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, kemenangan di Negeri Sembilan cukup penting kerana negeri itu turut menjadi sasaran Perikatan Nasional (PN).

"PN mahu menang di Negeri Sembilan kerana mendakwa peratus undi Melayu lebih tinggi di negeri itu berbanding Pulau Pinang.

"Apa-apa pun kita tidak mahu terlepas peluang dan akan hantar jentera yang komited bertugas dan membantu kempen PRN," katanya.

Selain Negeri Sembilan, PRN turut akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.