Tebing Barat terus dirampas

Pendatang Yahudi mula berpindah ke kawasan itu yang kini dilengkapi rumah pasang siap.
Pendatang Yahudi mula berpindah ke kawasan itu yang kini dilengkapi rumah pasang siap.
A
A
A

GANIM - Israel membuka semula penempatan haram Yahudi di Ganim pada Khamis di bawah sebahagian daripada pelan jahat untuk merampas lebih banyak kawasan di Tebing Barat.

Pembukaan semula pos yang ditinggalkan lebih 20 tahun lalu itu dilakukan ketika puak pelampau Yahudi memperhebatkan kempen gangguan dan mengepung kediaman penduduk Palestin hingga meraih perhatian banyak pihak termasuk Amerika Syarikat (AS).

Ia kini kembali dihuni pendatang haram Yahudi dengan rumah pasang siap, jalan baharu dan kemudahan asas dibangunkan di kawasan berkenaan selepas siri perobohan ke atas struktur milik penduduk Palestin dipergiatkan sejak tahun lalu.

Menteri Pertahanan, Israel Katz menerusi kenyataan provokasi menyifatkan kawasan itu kononnya sebagai 'tanah Israel' dan mereka akan kekal di situ selama-lamanya.

Ganim adalah antara empat penempatan yang dikosongkan di bawah pelan pengunduran dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Ariel Sharon pada 2005.

Namun, selepas lebih dua dekad, penempatan itu kembali dihidupkan ketika Israel mempercepatkan projek perluasan penempatan haram Yahudi dengan hampir 20,000 unit rumah baharu diluluskan di Tebing Barat dalam tempoh enam bulan pertama 2026 yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

Lebih 500,000 rakyat Israel tinggal bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin di wilayah tersebut yang diduduki rejim Zionis sejak 1967. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!