Salah Sarsour pendukung hak Palestin
#SHGlobal AS cuba usir pejuang Palestin atas alasan aktivismenya jejaskan dasar luar negara itu

MADISON - Presiden masjid terbesar di Wisconsin, Salah Sarsour mendakwa beliau berdepan layanan yang 'tidak berperikemanusiaan' sepanjang lebih 80 hari dalam tahanan imigresen persekutuan.
Layanan buruk itu mengingatkannya kepada kenangan pahit ketika beliau dipenjarakan oleh tentera Israel di Palestin hampir 40 tahun lalu.
"Ia mengembalikan trauma lama tentang apa yang berlaku kepada ketika saya dibicarakan di Palestin. Penghinaan, layanan tanpa belas kasihan dan bagaimana pengawal penjara cuba menjatuhkan maruah seseorang," ujarnya yang turut kehilangan berat badan hampir 14 kilogram sepanjang tempoh penahanan tersebut.
Sarsour yang menghidap diabetes mendedahkan beliau dinafikan pemeriksaan paras gula dalam darah yang diperlukan pada setiap hari.
"Makanan yang disediakan kepada tahanan sangat teruk. Saya tidur di atas tilam setebal hanya kira-kira lima sentimeter dengan selimut nipis di dalam bilik yang sangat sejuk bersama puluhan lelaki lain. Permohonan saya untuk menunaikan solat Jumaat bersama tahanan Muslim lain dan mahu menyambut Aidilfitri juga ditolak," menurutnya.
Sarsour yang dilahirkan di Tebing Barat telah menjadi pemastautin tetap Amerika Syarikat (AS) secara sah selama hampir tiga dekad, namun beliau ditahan oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) tanpa sebab kukuh.
Beliau kemudiannya dibebaskan pada 18 Jun lalu selepas seorang hakim persekutuan mendapati terdapat kemungkinan besar beliau ditahan secara tidak sah sebagai tindak balas terhadap perjuangannya mengenai hak penduduk Palestin.
Pentadbiran Presiden Donald Trump bagaimanapun masih meneruskan rancangan jahat untuk mengusirnya. Pada tahun lalu, Setiausaha Negara, Marco Rubio secara peribadi menandatangani memorandum yang menyatakan langkah pengusiran Sarsour atas alasan tindakan beliau kononnya menjejaskan dasar luar AS di bawah kempen memerangi anti-Yahudi di seluruh dunia.
Sarsour percaya penahanannya adalah cubaan terang-terangan oleh pentadbiran Trump untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya berhenti mengutuk perang ganas Israel ke atas Genting Gaza.
“Mereka sangka dengan menangkap saya, mereka akan menghalang kami memperjuangkan keadilan untuk penduduk Palestin. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.
Sarsour, 53, yang memiliki beberapa perniagaan merupakan bapa kepada enam cahaya mata memegang kerakyatan AS.
Beliau juga ialah seorang pemimpin komuniti yang terkenal di Milwaukee, tempat beliau menetap sejak berpindah bersama isterinya ke negara Uncle Sam itu pada 1993 untuk menikmati 'hidup dengan bebas'.
Selain bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan tempatan, Sarsour merupakan ahli lembaga pengarah Muslim Amerika untuk Palestin (AMP), sebuah pertubuhan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan dasar luar AS.

Dakwaan tak berasas
Ketika insiden penahanannya pada 30 Mac lalu, Sarsour dikepung oleh sekurang-kurangnya 10 kenderaan tanpa tanda pengenalan dan ejen bersenjata berpakaian biasa. Beliau dibawa ke sebuah fasiliti berhampiran Chicago sebelum dipindahkan ke sebuah kemudahan tahanan di Indiana.
Penangkapan itu mengundang kecaman puluhan pertubuhan hak sivil, ahli komuniti dan anggota legislatif selain mencetuskan demonstrasi.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memberitahu Sarsour disyaki membiayai organisasi pengganas dan berbohong dalam borang imigresen. Sarsour menafikan kedua-dua dakwaan tidak berasas itu.
DHS turut merujuk kepada sabitan oleh Mahkamah Tentera Israel beberapa dekad lalu berkaitan pertuduhan membaling bom Molotov ke arah kediaman askar Zionis dan cubaan memiliki senjata serta peluru secara tidak sah.
Sarsour berkata tuduhan tersebut berpunca daripada penahanannya ketika Intifada Pertama pada 1989. Ketika itu, beliau dipaksa menandatangani dokumen dalam bahasa Ibrani tanpa memahami kandungannya sebelum dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Beliau juga pernah ditahan selama hampir tiga bulan ketika kali terakhir kembali ke wilayah Palestin pada 1995.
Sarsour berkata pengalaman sukar sepanjang berada dalam tahanan masih menghantuinya sehingga kini dan memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
Walaupun menyedari bakal berdepan dengan proses perundangan yang panjang, beliau tidak gentar untuk menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.
“Kami mempunyai satu misi yang jelas iaitu terus menyuarakan kebenaran, mempertahankan Pindaan Pertama Perlembagaan AS dan memperjuangkan keadilan. Saya akan terus membawa mesej ini walau di mana pun saya berada,” tegasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

