UNESCO iktiraf tapak warisan di Tebing Barat, Lubnan

Sebahagian struktur yang musnah akibat serangan rejim Zionis di bandar Tyre, selatan Lubnan.
Sebahagian struktur yang musnah akibat serangan rejim Zionis di bandar Tyre, selatan Lubnan.
A
A
A

SEOUL - Di sebalik bantahan Israel, sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan kemasukan sebuah tapak arkeologi utama di Tebing Barat dan sejumlah istana di selatan Lubnan ke dalam Senarai Warisan Dunia.

Keputusan yang berpihak kepada Palestin itu dibuat ketika mesyuarat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di Busan, Korea Selatan, beberapa hari selepas Kementerian Luar di Tel Aviv mendesak jawatankuasa berkenaan agar menolak usaha untuk mengiktiraf bandar kecil Sebastia di Tebing Barat serta istana-istana di Lubnan dengan mendakwa pencalonan tersebut kononnya 'memanipulasi warisan budaya bagi tujuan politik.'

Penilaian tersebut dibuat jawatankuasa berkenaan mengikut prosedur kecemasan berikutan konflik yang berlarutan di Asia Barat yang mengancam tinggalan sejarah purba.

Sebastia ialah sebuah bandar di atas bukit yang terletak kira-kira 10 kilometer di barat laut Nablus yang diduduki Israel.

Tinggalan sejarah yang masih wujud di bandar Sebastia di Tebing Barat.
Tinggalan sejarah yang masih wujud di bandar Sebastia di Tebing Barat.

Para sarjana mengenal pasti kawasan itu sebagai Samaria purba. Tinggalan arkeologinya merangkumi daripada Zaman Besi, Rom, Byzantine dan Islam.

Pencalonan Sebastia pertama kali dikemukakan oleh delegasi Palestin kepada UNESCO pada 2012 dengan menyatakan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia diperlukan bagi memelihara kawasan seluas kira-kira 200 hektar berkenaan.

Dokumen itu menyebut tapak tersebut masih kurang dibangunkan di bawah kawalan Israel dan memerlukan usaha pemuliharaan tambahan meskipun menjadi tarikan pelancong.

Artikel Berkaitan:

Pengiktirafan ini dibuat ketika Israel merancang mahu mengambil alih kawasan tanah yang luas di sekitar tapak berkenaan di tengah-tengah peningkatan insiden keganasan yang didalangi pelampau Yahudi di wilayah Palestin.

Israel 'hilang hak'

Lima buah istana di wilayah Jabal Amel pula diiktiraf kerana warisan seni bina berlapis yang menggabungkan ciri seni bina dari zaman Tentera Salib, Ayyubiyah dan Mamluk yang mencerminkan sejarah panjang wilayah berkenaan serta evolusi reka bentuk kubu pertahanan selama hampir sembilan abad.

Istana Beaufort di selatan Lubnan yang pernah menjadi kubu strategik ketika pendudukan Israel.
Istana Beaufort di selatan Lubnan yang pernah menjadi kubu strategik ketika pendudukan Israel.

Antara tapak yang diiktiraf ialah Istana Beaufort atau Al-Shaqif yang dibina oleh tentera Salib dan telah dirampas oleh tentera Israel pada Mei lalu semasa pencerobohan terbesar mereka ke atas Lubnan dalam tempoh lebih 25 tahun.

Anggota delegasi Palestin ke UNESCO, Adel Naim Daoud Atieh berkata, pengiktirafan itu merupakan penghormatan terhadap ketabahan penduduk Sebastia yang telah memelihara tapak luar biasa itu selama beberapa generasi walaupun berdepan pendudukan, sekatan dan pelbagai rancangan jahat untuk memisahkan mereka daripada warisan sendiri.

“Keputusan ini memberi harapan kepada kami untuk terus memelihara Sebastia daripada dirampas oleh Israel,” ujar pemimpin di Sebastia, Nizar Kayed.

Jawatankuasa sama, baru-baru ini turut menyenaraikan satu lagi tapak di Beirut dalam Senarai Warisan Dunia Dalam Bahaya.

Tyre, bandar keempat terbesar di Lubnan yang terletak di selatan negara itu turut terjejas akibat serangan udara yang bertalu-talu pada awal Jun ketika konflik antara Israel dan Hizbullah memuncak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!