'Tiga hari dah tunggu Mohamad Rayyan, saya sudah tidak tertanggung rindu' - Ibu

Norhasmiza memeluk 'bantal busuk' milik anak lelaki tunggalnya, Muhamad Rayyan dan berdoa agar dia ditemukan hari ini.
Norhasmiza memeluk 'bantal busuk' milik anak lelaki tunggalnya, Muhamad Rayyan dan berdoa agar dia ditemukan hari ini.
A
A
A

KUALA KRAI - "Tiga hari dah tunggu Mohamad Rayyan, saya sudah tidak tertanggung rindu."

Demikian kata Norhasmiza Kamarudin, 39, sambil menahan sebak dan memeluk 'bantal busuk' milik anak lelaki tunggalnya, Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14.

Muhamad Rayyan yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi-manda di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.

Manakala rakannya, Luth Naiman Mohd Noor Aziron,14, ditemukan lemas pada jam 9.10 pagi pada Rabu pada jarak 50 meter dari lokasi mereka dikatakan hilang.

Norhasmiza setia menanti di lokasi kejadian sambil memeluk 'bantal busuk' milik anak lelaki tunggalnya, Muhamad Rayyan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai pada Selasa.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia berdoa agar Mohamad Rayyan akan dijumpai hari ini.

"Ya ALLAH kalau boleh saya hendak hari ini, tiga hari sudah tunggu.

"Saya tunggu dia dan sudah tidak mampu menanggung rindu lagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.

Dua remaja berkenaan dikenali sebagai Mohamad Rayyan dan Luth Naiman masing-masing berusia 14 tahun.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 yang dikenali sebagai Frankie mengesan Muhamad Rayyan.

SAR di Sungai Kelantan sudah memasuki hari ketiga dan radius pencarian diperluaskan hingga ke empat kilometer.
SAR di Sungai Kelantan sudah memasuki hari ketiga dan radius pencarian diperluaskan hingga ke empat kilometer.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi negeri, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi, Frankie merupakan antara usaha mereka untuk mengesan pelajar Tingkatan Dua itu di sepanjang pesisir sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pelajar yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan sudah memasuki hari ketiga dan radius pencarian diperluaskan hingga ke empat kilometer.

"Operasi SAR bermula jam 8 pagi tadi dan memberi tumpuan kepada pencarian secara menyelusuri sungai selain kaedah selaman di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!