Tiga lagi helikopter AW189 Maritim Malaysia dijangka diterima pada Disember

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SUBANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka menerima tiga lagi helikopter AW189 pada Disember ini, menjadikan keseluruhan aset udara agensi itu meningkat kepada sembilan buah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, helikopter berkenaan merupakan sebahagian daripada perolehan empat buah AW189 bernilai RM529 juta, dengan sebuah daripadanya diserahkan kepada Maritim Malaysia pada Khamis.

"Ini adalah helikopter pertama daripada empat buah, manakala tiga lagi dijadualkan tiba pada Disember.

"Kontrak ini bernilai RM529 juta dan saya bersyukur projek ini telah diselesaikan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Malaysia Subang di sini pada Khamis.

Menurutnya, lima aset udara sedia ada Maritim Malaysia terdiri daripada helikopter AW139, manakala penambahan AW189 menjadikan jumlah aset udara ketika ini kepada enam buah.

Katanya, pertambahan aset berkenaan penting bagi membantu Maritim Malaysia mengawasi Zon Maritim Malaysia yang meliputi kawasan seluas 556,285 kilometer persegi.

"Selain daripada aset laut yang biasa, radar, kapal, drone, bot, satu elemen yang penting untuk Maritim Malaysia adalah untuk tujuan surveillance udara, fungsi search and rescue, operasi khas dan pelbagai bentuk tugasan lain," katanya.

Beliau berkata, kawasan perairan negara berdepan pelbagai ancaman termasuk pencerobohan nelayan asing, kemasukan kapal asing, penyeludupan senjata, dadah dan barangan terlarang serta penyeludupan manusia, pelarian dan pendatang asing tanpa izin.

Tambahnya, AW189 mempunyai keupayaan lebih baik berbanding aset udara sedia ada, khususnya dari segi tempoh penerbangan, kelajuan dan kapasiti muatan.

Artikel Berkaitan:

"Helikopter ini dikendalikan lima kru dan mampu membawa sehingga 14 penumpang selain digunakan untuk fungsi pengawasan udara, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta operasi khas," katanya.

Saifuddin Nasution berkata, pembangunan kapasiti anggota turut diberi perhatian bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran mencukupi untuk mengendalikan aset baharu berkenaan.

"Sedang dilatih, selesai latihan di Itali, mereka akan sambung lagi di dalam sebelum betul-betul mereka berada pada tahap siap siaga untuk mengoperasikan pesawat baharu ini," katanya.

Beliau berkata, penambahan aset berkenaan turut meningkatkan semangat anggota Maritim Malaysia kerana mendapat sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan maritim negara.

Katanya, kerajaan turut dijangka menerima sebuah kapal induk atau mothership pada suku pertama tahun depan bagi terus meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia.

"Ini sekaligus menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada Maritim Malaysia dalam tujuan menjaga keselamatan maritim kita," katanya.

Perolehan empat helikopter AW189 itu diluluskan melalui Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), dengan tempoh kontrak dari 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!