'Segerakan Unit Pemerkasaan Bumiputera di setiap kementerian' - Musyawarah Nasional

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepat pelaksanaan sepenuhnya Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera tidak terus tertangguh.
Sekretariat Musyawarah Nasional berkata, UPB perlu segera digerakkan sebagai jentera pelaksanaan yang benar-benar berfungsi dengan autoriti, sasaran, data dan akauntabiliti jelas supaya dasar pemerkasaan Bumiputera dapat diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.
“Dasar yang baik tidak membawa makna jika pelaksanaannya terus tertangguh. Kini tumpuan kerajaan mesti beralih sepenuhnya kepada pelaksanaan, pemantauan dan keberhasilan.
“Agenda pemerkasaan Bumiputera terlalu penting untuk dibiarkan bergerak secara perlahan atau sekadar menjadi slogan. Ia mesti diterjemahkan kepada perubahan ekonomi yang boleh dilihat, diukur dan dirasakan oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pelaksanaan UPB perlu disegerakan selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan Penubuhan, Terma Rujukan dan Struktur UPB di Kementerian.
Katanya, penubuhan dan pengukuhan UPB bukan perkara baharu kerana keperluan mewujudkan mekanisme khusus bagi menyelaras agenda Bumiputera di seluruh kementerian telah dibincangkan sejak Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Perkara itu kemudiannya diterjemahkan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang mengandungi 132 ikhtiar di bawah tiga teras dan 12 pemacu bagi memperkukuh penyertaan, pemilikan serta penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Bagaimanapun, Sekretariat Musyawarah Nasional berkata, cabaran utama ketika ini bukan lagi kekurangan dasar atau intervensi, sebaliknya kelemahan dari segi penyelarasan dan pelaksanaan yang menyeluruh serta berkesan.
Menurutnya, perkara itu turut ditegaskan menerusi Teras Ekonomi dalam Konvensyen Musyawarah Nasional yang berlangsung pada Mei lalu.
Justeru katanya, setiap kementerian perlu mengaktifkan sepenuhnya UPB dengan menyediakan struktur, pegawai bertanggungjawab dan mandat pelaksanaan yang jelas.
Selain itu, setiap UPB perlu menyediakan pelan tindakan kementerian masing-masing berserta petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur berdasarkan bidang kuasa, tanggungjawab dan peluang ekonomi di bawah kementerian berkenaan.
“Status pelaksanaan juga perlu dilaporkan secara berkala kepada mekanisme pemantauan pusat PuTERA35 supaya sebarang kelewatan, pertindihan atau kelemahan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan segera,” katanya.
Sekretariat itu turut mencadangkan satu kad skor pencapaian diwujudkan bagi memastikan keberhasilan agenda berkenaan tidak lagi dinilai berdasarkan jumlah mesyuarat, program atau peruntukan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, pencapaian perlu diukur berdasarkan peningkatan sebenar penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan serta penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik.
Dalam pada itu, Sekretariat Musyawarah Nasional berkata, kerangka tadbir urus PuTERA35 sebenarnya telah menyediakan mekanisme pemantauan menerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Ekonomi Bumiputera, Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera dan Majlis Ekonomi Bumiputera.
“Keseluruhan ekosistem yang diperlukan untuk menggerakkan agenda ini sebenarnya telah tersedia. Kini tanggungjawab terletak sepenuhnya pada kerajaan untuk memastikan keputusan ini diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.
Tegasnynya, tiada lagi ruang untuk berlaku jurang antara dasar dengan pelaksanaan kerana agenda pemerkasaan Bumiputera perlu menjadi keutamaan nasional yang digerakkan secara tegas, dipantau berterusan dan dinilai berdasarkan hasil yang benar-benar dirasai masyarakat Bumiputera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

