Kerajaan digesa wujudkan dasar kukuh bantu industri percetakan tempatan

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mewujudkan dasar lebih kukuh dan menyediakan sokongan kewangan bagi memastikan industri percetakan tempatan terus berdaya saing susulan persaingan sengit daripada syarikat luar negara serta kos tinggi untuk menaik taraf teknologi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan perlu memastikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan pengusaha tempatan, sebaliknya memberi ruang kepada mereka menikmati peluang ekonomi yang diwujudkan.
Katanya, industri tempatan wajar terus diperkasa termasuk menerusi galakan membawa masuk mesin berteknologi tinggi dan berskala besar bagi memodenkan operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta keupayaan bersaing di peringkat global.
“Dari segi dasar, kita mengalu-alukan semua FDI, tetapi kita juga perlu membangunkan industri tempatan. Perlu ada dasar yang membolehkan syarikat tempatan turut menikmati manfaat daripada peluang ekonomi yang ada.
“Saya berharap kerajaan dapat memahami kesukaran yang dihadapi syarikat tempatan. Sudah tiba masanya kerajaan meneliti perkara ini,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan International Printing, Paper, Packaging Machinery Exhibition (IPMEX) Malaysia & Sign Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Rabu.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menegaskan, industri percetakan yang sebenarnya sudah bertapak di negara ini begitu lama iaitu sejak 100 tahun lalu perlu terus berkembang.
“Saya telah melihat begitu banyak persatuan industri ini yang telah wujud sejak 50 tahun, malah ada yang sudah berusia 100 tahun. Jadi, ini bukan sekadar perniagaan kecil dan ia perlu terus berkembang,” ujarnya.
Ka Siong memberitahu, syarikat percetakan berskala kecil di Malaysia perlu diberikan peluang untuk bekerjasama dengan pemain industri yang lebih besar bagi membolehkan mereka memperoleh kepakaran, meningkatkan keupayaan dan seterusnya mengembangkan perniagaan.
“Kita perlu benar-benar menggalakkan pemain industri tempatan bekerjasama dengan pemain besar supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan dan akhirnya menjadi pemain besar. Saya fikir inilah yang dimaksudkan dengan padang permainan yang sama rata,” kata beliau.
Ka Siong menambah, aspek pembiayaan juga perlu diberi perhatian serius kerana kos mesin dan teknologi baharu yang tinggi menjadi antara kekangan utama kepada pengusaha untuk melakukan automasi serta memodenkan operasi.

“Bagi memastikan kita terus mengikuti perkembangan semasa, saya menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian kepada dua aspek ini, iaitu persaingan yang adil dan pembiayaan,” jelasnya.
Beliau berkata, persaingan daripada syarikat luar semakin ketara apabila produk dan perkhidmatan boleh ditawarkan pada harga jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan.
Kata beliau, keadaan berkenaan bukan hanya berlaku dalam industri percetakan, malah turut dapat dilihat dalam sektor lain termasuk fotografi dan pengubahsuaian.
Cabaran pengusaha percetakan tempatan
Terdahulu, pada majlis sama, Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia, Azizi Fickry membangkitkan mengenai cabaran yang dihadapi pengusaha percetakan tempatan dengan kebimbangan utama dari segi peningkatan kemasukan produk percetakan dari China dan pasaran luar negara lain.
Azizi berkata, walaupun mereka tidak meminta untuk dilindungi daripada persaingan kerana sedar bahawa ia merupakan sebahagian daripada dunia perniagaan namun syarikat tempatan perlu diberikan persekitaran yang adil dan menyokong untuk mereka bersaing.
“Pengusaha percetakan Malaysia menggaji pekerja tempatan, membangunkan kemahiran teknikal, melabur dalam kemudahan, mematuhi peraturan domestik dan menyumbang kepada ekonomi negara melalui pembayaran cukai.
“Pada masa sama, mereka berdepan peningkatan kos bahan, buruh, tenaga, percukaian dan pematuhan peraturan. Kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kos operasi lain terus memberi tekanan terhadap margin keuntungan yang sememangnya kecil,” kata Azizi.

Menurutnya, pengenaan SST menyebabkan pengusaha perlu membuat bayaran pendahuluan sebelum barangan tertentu dilepaskan di pelabuhan.
“Industri percetakan secara umumnya juga perlu membayar SST. Buku sekolah sifar SST tapi kertas secara amnya dikenakan kadar 10 peratus, manakala bagi surat khabar lima peratus.
“Walaupun pengecualian masih boleh diperoleh, permohonan perlu dibuat terlebih dahulu. Jika proses mengambil masa, kita masih perlu membayar keseluruhan cukai dan kemudian menunggu bayaran balik,” tambahnya.
Harga buku, produk percetakan meningkat
Azizi berkata, peningkatan kos akhirnya memberi kesan kepada pengguna apabila harga buku dan produk percetakan turut meningkat.
Beliau menjelaskan, harga buku ketika ini dianggarkan meningkat antara lima hingga lapan peratus berbanding tahun lalu susulan peningkatan kos.
Azizi turut mendedahkan bahawa industri tempatan semakin sukar bersaing dengan syarikat percetakan China yang mempunyai produktiviti lebih tinggi, kos lebih rendah serta tempoh penghantaran semakin singkat.
“Dahulu jika pelanggan meminta 500,000 naskhah buku, kita mungkin mampu mencetak dan menghantarnya dalam tempoh sebulan. Sekarang, syarikat dari China mungkin hanya memerlukan kira-kira lima hari. Dari segi produktiviti dan kos, mereka mempunyai kelebihan berbanding Malaysia,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, apabila syarikat berusaha memodenkan operasi, mesin percetakan yang diimport pula mungkin dikenakan duti dan cukai yang tinggi serta perlu dibayar terlebih dahulu.
Kata beliau, sebuah mesin pengeluaran sahaja boleh menelan kos sehingga beberapa juta ringgit jadi kos pendahuluan itu memberikan tekanan serius terhadap aliran tunai syarikat.
“Namun, tanpa teknologi baharu, pengusaha percetakan tempatan tidak mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan pembaziran atau bersaing secara berkesan dengan pengeluar luar negara,” jelasnya.
Mahu dialog dengan kerajaan
Azizi berkata, masalah kekurangan bakat tempatan turut membelenggu industri apabila golongan muda kurang berminat menyertai sektor berkenaan kerana menganggap gaji dan prospek kerjaya kurang menarik.
Keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa bergantung kepada pekerja asing, sedangkan kos operasi semakin meningkat termasuk susulan kewajipan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.
Azizi menambah, akses pembiayaan juga menjadi halangan besar apabila industri percetakan masih dilihat sesetengah institusi kewangan sebagai ‘sunset industry’ atau industri yang semakin merosot.
“Saya berharap pembuat dasar dan institusi kewangan dapat melihat industri ini dengan lebih menyeluruh serta berdasarkan pemahaman yang lebih mendalam.
“Kami mahu mengadakan dialog konstruktif dengan kerajaan mengenai kemudahan pembiayaan yang lebih mudah diakses bagi tujuan peningkatan teknologi, kajian semula duti dan cukai pendahuluan terhadap mesin penting, insentif yang lebih kukuh untuk automasi dan kelestarian serta syarat persaingan yang lebih adil antara produk percetakan tempatan serta produk import,” ujarnya.
Industri papan tanda dan pengiklanan turut terjejas
Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Pengilang Pengiklanan Malaysia (PPPIM), Kapitan Lau Yun Chen berkata, industri papan tanda dan pengiklanan turut berdepan kekurangan tenaga kerja berkemahiran serta peningkatan kos operasi.
Katanya, pengusaha tempatan perlu diberi sokongan supaya mampu mengekalkan tenaga kerja dan bersaing dengan produk dari China yang ditawarkan pada harga lebih rendah.
“Pada saya, syarikat tempatan perlu menyokong pengusaha tempatan. Kerajaan perlu memberikan sokongan penuh kerana kita perlu memastikan pekerja-pekerja ini terus mempunyai pekerjaan,” kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd, Belle Yam menegaskan, IPMEX Malaysia & Sign Malaysia 2026 yang akan berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu ini menjadi platform penting untuk pemain industri meneroka teknologi baharu, membina jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing.
Menurutnya, pameran yang berlangsung di tiga dewan dengan keluasan 12,530 meter persegi itu menghimpunkan lebih 300 pempamer dari seluruh dunia termasuk peneraju teknologi seperti Epson, HP, Konica Minolta, Ricoh, Kodak, Mimaki, Mutoh dan Pulisi.
Pameran tersebut turut memberi tumpuan kepada transformasi digital, automasi, kelestarian dan pembuatan pintar yang semakin menjadi keperluan industri.
“IPMEX Malaysia & Sign Malaysia 2026 merupakan pameran utama rantau ini yang didedikasikan untuk masa depan industri percetakan, papan tanda, pembungkusan dan komunikasi visual. Ia menjadi wadah yang menghimpunkan idea, memperkembangkan teknologi serta membuka peluang baharu kepada perniagaan.
“Tahun ini juga menandakan satu peristiwa penting bagi Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd kerana kami meraikan 30 tahun kecemerlangan sejak penubuhan kami pada 1996.
“Sepanjang 30 tahun yang lalu, kami kekal kukuh dalam misi kami untuk mewujudkan platform perniagaan bertaraf dunia yang menghubungkan industri, memberi inspirasi kepada inovasi dan memupuk perkongsian bermakna di seluruh Asia dan juga yang melangkauinya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

