Rafizi dakwa Kerajaan Madani belum lunas sepenuhnya komitmen kewangan kepada Tabung Haji

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani didakwa tidak melunaskan sepenuhnya komitmen kewangan kepada Tabung Haji bagi menebus Sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB) siri 1 berjumlah RM12.5 bilion yang matang pada 29 Mei 2026.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kerajaan sewajarnya melunaskan komitmen berkenaan sama ada dalam bentuk tunai atau aset yang setara nilai.

Beliau berkata, ia akan mengantikan sejumlah RM12.5 bilion aset Tabung Haji dari aset atas kertas yang tiada aliran tunai kepada aset yang ada aliran tunai dan cair.

"Bagaimanapun, daripada jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak.

"Jumlah berbaki RM11.5 bilion dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baru, yang akan matang dalam tempoh sepuluh tahun iaitu kerajaan perlu membayar Tabung Haji RM11.5 bilion dalam 2036," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rafizi menjelaskan, penstrukturan kewangan Tabung Haji diluluskan kerajaan pada akhir 2018 bergantung kepada kemampuan dan kepatuhan kerajaan Malaysia melunaskan komitmen kewangan kepada institusi berkenaan apabila sampai tarikh matang.

Ujarnya, menerusi struktur tersebut, kerajaan Persekutuan melalui sebuah syarikat milik penuh kerajaan bernama UJSB mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang mengalami kerugian pada harga yang lebih tinggi dari nilai sebenar.

"Sebagai ganti, UJSB menerbitkan dua siri sukuk (kertas hutang) kepada Tabung Haji. Pada tarikh matang iaitu 2026 dan 2029, kerajaan Persekutuan membayar kembali Tabung Haji untuk menggantikan kertas hutang itu sama ada dengan tunai atau aset pada nilai yang telah dipulihkan," ujarnya.

Bekas Menteri Ekonomi terbabit memaklumkan, perkara-perkara terbabit menjadi tumpuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, laporan RCI tersebut memberi penekanan kepada beberapa perkara termasuklah langkah memindahkan aset- aset bermasalah Tabung Haji dan mengantikannya dengan satu instrumen sukuk adalah langkah sementara semata-mata untuk membolehkan rizab Tabung Haji menjadi positif dan boleh terus membayar hibah.

“Kerajaan perlu membuat peruntukan daripada belanjawan tahunan untuk memastikan komitmen kerajaan itu dilunaskan apabila tiba masanya, iaitu pada 2026 dan 2029,” katanya.

Menurut Rafizi, ketika Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan pada 5 April 2019 meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan penebusan sukuk UJSB.

"Perkara ini disambung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan saya percaya di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam RMK13.

"Bagaimanapun, komitmen kewangan untuk memulihkan Tabung Haji mengikut pelan pemulihan di bawah UJSB ini nampaknya tidak dipatuhi," kongsinya lagi.

Rafizi mendakwa, ia berikutan setakat ini hanya RM500 juta dibayar kepada Tabung Haji bagi menebus sukuk UJSB berdasarkan penemuan RCI.

Beliau berkata, pada 2021 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, peruntukan RM1.5 bilion diluluskan dalam Belanjawan 2021 tidak dibayar kepada Tabung Haji atas alasan wang diperlukan untuk pemulihan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Tambahnya, terkini, sekali lagi kerajaan dibawah pentadbiran Madani tidak membayar sepenuhnya komitmen kewangan yang dipersetujui untuk memulihkan Tabung Haji.

"Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih RM1 bilion setahun bagi melunaskan sukuk UJSB yang matang pada 29 Mei 2026," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan ke mana peruntukan berbilion ringgit yang disediakan selama ini bagi tujuan pemulihan Tabung Haji telah disalurkan.

“Perbahasan Parlimen esok sewajarnya mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa Tabung Haji akan berdepan risiko kecairan aset dan aliran tunai pada masa akan datang sekiranya kerajaan ketika ini dan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB ke masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!