PH Pulau Pinang kekal pendirian terima BN, UMNO

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk menerima kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan berkenaan juga tidak dipersoalkan dalam sesi libat urus yang diadakan pada Rabu.

“Keputusan itu pun tidak dipersoalkan semalam, tidak ada orang mempersoalkan pun.

“Tak apa, dia (Lim Guan Eng) boleh bangkit (isu itu)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program R.A.C.E to Zero: Penang Edition di Bayan Lepas pada Khamis.

Sebelum ini, Guan Eng yang merupakan Penasihat DAP, mempersoalkan pendirian kepimpinan tertinggi PH Pulau Pinang yang terus menyokong peranan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun terdapat kenyataan yang disifatkannya sebagai serangan tidak mesra terhadap DAP dan PKR.

Guan Eng berkata, pendirian tersebut sukar difahami apabila tiada maklum balas diberikan terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP dan PKR berkaitan isu politik identiti.

Menurut bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, Reezal sebelum ini menafikan Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi politik identiti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya mendakwa DAP dan PKR hanya memberi tumpuan kepada satu kaum.

Sementara itu, ditanya sama ada hanya Guan Eng yang membangkitkan perkara berkenaan, Kon Yeow berkata, beliau tidak mengetahui sama ada terdapat seorang atau dua individu yang mempersoalkan keputusan tersebut.

“Kita memang kekal dengan keputusan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, PH Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Keputusan itu diumumkan Kon Yeow selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri pada petang Sabtu.

Menurutnya, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Exco BN iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika pilihan raya negeri (PRN) 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!