Kafe guna anak singa tarik pelanggan, pelancong China cedera digigit

Seorang pelancong dari China didakwa digigit anak singa ketika menyertai sesi berbayar bersama haiwan berkenaan di sebuah kafe di Phuket, Thailand..
Seorang pelancong dari China didakwa digigit anak singa ketika menyertai sesi berbayar bersama haiwan berkenaan di sebuah kafe di Phuket, Thailand..
A
A
A

PHUKET - Seorang pelancong dari China didakwa digigit anak singa ketika menyertai sesi berbayar bersama haiwan berkenaan di sebuah kafe di Phuket, Thailand.

Menurut laporan media China, pelancong itu berkongsi pengalaman tersebut menerusi media sosial selepas lengannya digigit anak singa sehingga menyebabkan kulitnya terluka ketika sesi bergambar bersama haiwan itu.

Kakitangan kafe terbabit dilaporkan membersihkan luka mangsa menggunakan iodin dan memaklumkan bahawa anak singa berkenaan telah menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, pelancong itu berkata beliau masih bimbang mengenai risiko jangkitan rabies dan mengambil keputusan mendapatkan suntikan vaksin rabies menggunakan wang sendiri ketika berada di Thailand.

Pada 10 Ogos lalu, portal Xiaoxiang Morning Herald memetik kenyataan pelancong itu yang memaklumkan beliau tidak mengalami masalah kesihatan yang serius selepas kejadian tersebut, namun mengalami demam serta sakit pada bahagian lengan selepas menerima suntikan vaksin.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kafe singa semakin popular di beberapa lokasi pelancongan Thailand, termasuk Phuket, Chiang Mai dan Bangkok, dengan pengunjung dikenakan bayaran untuk duduk berhampiran anak singa serta mengambil gambar bersama haiwan tersebut.

Di bawah Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Haiwan Liar Thailand, singa dikategorikan sebagai hidupan liar terkawal dan pemilik perlu mendapatkan kebenaran serta memastikan haiwan itu ditempatkan di lokasi berdaftar.

Bagaimanapun, penguatkuasaan terhadap pemilikan dan operasi kafe haiwan liar sebelum ini pernah menjadi perhatian selepas beberapa kes melibatkan pelanggaran syarat pendaftaran dan kebajikan haiwan.

Jabatan Taman Negara Thailand bagaimanapun memaklumkan premis berdaftar akan diperiksa secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, identiti kafe yang dikaitkan dengan kejadian gigitan pelancong China itu masih belum didedahkan dan tiada laporan rasmi yang mengaitkannya dengan kes-kes penguatkuasaan terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!