Anggota tentera terkena tembakan rakan di lapang sasar

PORT DICKSON – Seorang anggota tentera cedera selepas terkena tembakan rakan ketika berada di Lapang Sasar, Sungai Menyala, di sini, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.15 petang.
"Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang rakan sepasukan," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kejadian tersebut mengakibatkan mangsa cedera pada bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Ujarnya, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mohd Nasharudin berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga merupakan anggota tentera ditangkap bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

