Jangan hanya tunggu loceng kebakaran

Simulasi keselamatan bukan bertujuan menakutkan murid atau mewujudkan suasana panik, sebaliknya membina kesiapsiagaan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi luar jangka. Foto hiasan janaan AI
Simulasi keselamatan bukan bertujuan menakutkan murid atau mewujudkan suasana panik, sebaliknya membina kesiapsiagaan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi luar jangka. Foto hiasan janaan AI
A
A
A

SEKOLAH sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk murid, namun beberapa insiden keganasan yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan persoalan penting sejauh mana warga sekolah benar-benar bersedia sekiranya berlaku ancaman keselamatan?

Terbaharu, seorang pelajar Tingkatan Dua cedera di lengan akibat ditusuk rakan sekelas dengan kerambit di sebuah sekolah di Shah Alam pada 5 Ogos lalu.

Insiden itu bukan kes terpencil kerana pada Julai, seorang pelajar turut cedera dalam kejadian serangan di sebuah sekolah di Banting, manakala pada Oktober 2025, kes di Bandar Utama, Petaling Jaya mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun selepas diserang seorang pelajar.

Rentetan daripada kejadian ini adalah wajar membuka ruang kepada satu bentuk kesiapsiagaan yang lebih menyeluruh di sekolah dan bukan sekadar latihan kebakaran, pemindahan bangunan atau menghadapi bencana alam.

Persoalannya, adakah warga sekolah pernah menjalani simulasi khusus bagi menguji tindak balas sekiranya berlaku ancaman keselamatan atau insiden keganasan?

Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya menetapkan keperluan latihan keselamatan dan simulasi secara berkala.

Namun, pelaksanaannya perlu dilihat bukan sekadar memenuhi jadual latihan, sebaliknya memastikan warga sekolah benar-benar memahami peranan masing-masing ketika berdepan situasi kecemasan.

Latihan praktikal bersama agensi berkaitan seperti polis dan bomba juga boleh dipertimbangkan supaya pihak sekolah dapat mengenal pasti kelemahan prosedur, sistem komunikasi, kawalan pergerakan serta pengurusan murid ketika kecemasan.

Simulasi keselamatan bukan bertujuan menakutkan murid atau mewujudkan suasana panik, sebaliknya membina kesiapsiagaan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi luar jangka.

Artikel Berkaitan:

Sekolah mungkin tidak mampu menghalang setiap ancaman, tetapi sekurang-kurangnya setiap warga sekolah tahu apa yang perlu dilakukan apabila keselamatan mereka benar-benar terancam.

Jangan tunggu kejadian seterusnya untuk mengetahui sama ada kita sebenarnya sudah bersedia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!