'32 tahun arwah ayah cari rezeki besarkan keluarga', waris staf Karangkraf terima saguhati

Muhammad Aiman Syafiq selaku wakil penerima sumbangan bergambar bersama kakitangan dan pengurusan Karangkraf, di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Muhammad Aiman Syafiq selaku wakil penerima sumbangan bergambar bersama kakitangan dan pengurusan Karangkraf, di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Waris kepada Abdul Rahman Ibrahim, kakitangan Karangkraf yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu menzahirkan rasa syukur apabila pihak syarikat berbesar hati menyumbangkan sejumlah wang saguhati bagi meneruskan kehidupan.

Anak sulung Abdul Rahman, Muhammad Aiman Syafiq berkata, 29, berkata, pihak keluarga amat menghargai sumbangan diberikan kepada arwah yang sudah 32 tahun satu bulan berkhidmat di Karangkraf dengan jawatan terakhir sebagai Operator Cetak 1 Jabatan Operasi Komersial di Dasar Cetak (M) Sdn Bhd.

Menurutnya, Allahyarham tidak pernah merungut atau mengeluh, malah sentiasa meluahkan rasa seronok dan gembira sepanjang bekerja di syarikat ini.

"Ayah menghabiskan sepanjang hayatnya bekerja di Karangkraf demi mencari rezeki buat keluarga dan membesarkan dua anak lelakinya.

"Saya difahamkan arwah seorang yang sangat periang dan mesra dengan rakan sekerja. Dia tak pernah banyak mulut, kalau rakan minta tolong arwah akan bantu.

Hussamuddin menyampaikan ucapan dan pesanan kepada waris Allahyarham Abdul Rahman. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Hussamuddin menyampaikan ucapan dan pesanan kepada waris Allahyarham Abdul Rahman. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Arwah selalu cakap dia seronok bekerja di sini, tak pernah dengar dia merungut atau mengeluh. Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada Karangkraf kerana memberikan ayah peluang untuk bekerja sejak 1994 lagi, satu tempoh yang sangat lama," katanya.

Muhammad Aiman Syafiq berkata demikian sebaik menerima sumbangan saguhati berupa cek ketika Majlis Penyampaian Saguhati Allahyarham Abdul Rahman Ibrahim bertempat di Auditorium Karangkraf, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Muhammad Aiman Syafiq turut menyifatkan arwah sebagai individu yang banyak menyumbang jasa buat keluarga dan Karangkraf.

Allahyarham Abdul Rahman disahkan meninggal dunia pada 21 Mei 2026 pada jam 1.29 pagi di Hospital Shah Alam disebabkan 'brain stem infarction'.

Muhammad Aiman Syafiq (dua dari kiri) menerima sumbangan saguhati berupa cek daripada pengurusan Karangkraf iaitu Datuk Hussamuddin dan Datuk Muhammad Nasir. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Muhammad Aiman Syafiq (dua dari kiri) menerima sumbangan saguhati berupa cek daripada pengurusan Karangkraf iaitu Datuk Hussamuddin dan Datuk Muhammad Nasir. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Abdul Rahman pada mulanya didapati tidak sedarkan diri dan terbaring di kawasan premis syarikat.

Dia kemudiannya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Erniewati Mhd Nasir selaku penerima saguhati berserta dua anak lelakinya iaitu Muhammad Aiman Syafiq dan Muhammad Iman Haziq.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, sumbangan wang itu merupakan hadiah syarikat kepada keluarga si mati di mana yang paling layak menerimanya ialah Erniewati.

Beliau turut mengamanahkan Muhammad Aiman Syafiq menyampaikan wang tersebut kepada ibu di samping menasihatkannya untuk tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai anak lelaki meskipun baharu sahaja mendirikan rumah tangga.

"Saya kenal dengan arwah dan isteri lebih 30 tahun lalu, daripada dia berjumpa jodoh dan berkahwin pun di sini (Karangkraf).

"Setelah Jabatan Sumber Manusia (HR) membuat kajian, syarikat mendapati individu yang paling layak menerima sumbangan wang 100 peratus ialah Erniewati.

"Amaunnya tidak besar, tetapi hati-hati. Satu lagi, tanggungjawab anak lelaki. Kamu dua beradik sahaja, tanggungjawab kepada kamu untuk menjaga mak sampai mati.

"Justeru, ini merupakan penghargaan syarikat kepada arwah atas sumbangan jasanya. Saya bagi pihak Karangkraf mengucapkan terima kasih banyak-banyak," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!