Al-Quran lusuh dimurni, budaya tadabbur di sekolah diperkasa

PASIR PUTEH - Sebanyak 487 naskhah al-Quran lusuh dari sekolah menengah di daerah ini dikumpulkan untuk dimurnikan dan dilupuskan mengikut kaedah yang sepatutnya bagi memastikan kesucian kitab suci itu terus terpelihara.
Naskhah kitab suci berkenaan dikumpulkan daripada beberapa sekolah menengah di daerah ini, termasuk Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, SMK Gaal, SMK Padang Pak Amat dan SMK Seri Aman.

Timbalan Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Samsudin Musa, berkata usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Program Pemurnian al-Quran Lusuh Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat PPD Pasir Puteh 2026.
Menurut beliau, naskhah yang rosak dan tidak lagi boleh digunakan dikumpulkan bagi memastikan kesuciannya terpelihara sebelum dilupuskan dengan cara yang sewajarnya.
"Program ini merupakan usaha untuk memastikan naskhah-naskhah al-Quran yang telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi terus terpelihara kesuciannya sebelum proses pelupusan dilakukan sebagaimana sepatutnya," katanya pada program yang berlangsung di Dewan Seminar, PPD Pasir Puteh, di sini pada Ahad.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama dan Majlis Daerah Pasir Puteh.
Dalam pada itu, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, menyarankan agar al-Quran yang disumbangkan kepada sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah, bukan sekadar disimpan sebagai bahan bacaan.

Beliau berkata, penghayatan al-Quran perlu diterjemahkan melalui usaha membaca, memahami dan mengamalkan kandungannya dalam kehidupan seharian.
"Saya mencadangkan supaya setiap hari ustaz-ustaz di sekolah mentadabbur satu ayat al-Quran sebelum kelas bermula.
"Selain itu, setiap sekolah juga boleh mewujudkan 'Al-Quran Corner' supaya murid dan guru mempunyai ruang khusus untuk membaca al-Quran ketika mempunyai masa lapang," katanya.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan mampu menjadikan al-Quran sebahagian daripada rutin warga sekolah, sekali gus membentuk generasi yang bukan sahaja membaca tetapi memahami dan menghayati mesej yang terkandung di dalamnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

