Stesen minyak disiasat benarkan kenderaan asing isi RON95

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sudah mengambil tindakan terhadap pembelian petrol RON95 oleh sebuah kenderaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Taiping pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya bertindak pantas menjalankan siasatan selepas menerima aduan dan maklumat yang tular di media sosial berhubung kejadian berkenaan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada 10 Ogos lalu dengan pembelian petrol RON95 dibuat menggunakan kad kredit melalui terminal pembayaran luar (OTP).
"Kenderaan yang digunakan pula disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing. Semakan transaksi jualan serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak telah diperoleh dan sedang disemak bagi membantu siasatan.
"Susulan itu, satu tindakan kes diambil terhadap pihak stesen minyak kerana disyaki menjual petrol RON95 kepada kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, satu lagi kes turut disiasat membabitkan pembelian petrol RON95 untuk kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi badan korporat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Terdahulu tular satu gambar di media sosial memaparkan seorang lelaki sedang mengisi minyak petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta Toyota Corolla Altis menggunakan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Taiping.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

