Suami isteri berdepan hukuman mati

IPOH – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), minggu lalu.
Teoh Wai Loon, 44, dan isterinya, Lim Suk Pei, 38, didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama kira-kira jam 10.30 malam pada 4 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA anggaran berat 480.60 gram di sebuah bilik di sebuah premis di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam daerah Kinta dan negeri Perak mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira di hadapan Majistret S Punitha.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

