Bekas pengetua kini usahawan berjaya

A
A
A

Azizah gigih berniaga di Pasar Tani Kampung Simee dan mengusahakan cendawan kukur.
Azizah gigih berniaga di Pasar Tani Kampung Simee dan mengusahakan cendawan kukur.

IPOH – Selepas lebih 35 tahun menabur bakti sebagai pendidik, seorang bekas pengetua membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif apabila menceburi bidang keusahawanan pertanian.

Azizah Musa, 76, yang bersara ketika berusia 56 tahun, memilih untuk mengisi masa lapang dengan mengusahakan cendawan selepas berasa tidak betah hanya duduk di rumah.

“Saya mula menanam cendawan sekitar 2010, pada awalnya cendawan tiram. Selepas bersara, saya rasa tenaga masih banyak dan tidak mahu hanya duduk di rumah.

"Selepas itu saya mula belajar dan pergi melihat sendiri perusahaan cendawan di beberapa tempat untuk tambah ilmu sebelum mengusahakan cendawan kukur kerana permintaannya tinggi selain harga jualannya lebih baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Tani Kampung Simee di sini.

Perusahaan berkenaan pada awalnya bermula secara kecil-kecilan sebelum berkembang selepas menerima pinjaman tanpa faedah RM24,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) pada 2022.

“Sekarang saya ada enam khemah dan dibantu dua pekerja. Untuk 1,000 bongkah, hasil tuaian boleh mencapai kira-kira 25 kilogram.

“Pendapatan bersih sekitar RM3,000 sebulan dan duit itu saya gunakan untuk pusingan modal. Duit pencen pula saya simpan untuk keperluan lain,” katanya yang bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bota.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Azizah berkata, cendawan sisir dijual sekitar RM110 sekilogram berbanding cendawan tiram RM26 sekilogram namun kos pengeluarannya lebih tinggi.

Nenek kepada 14 cucu itu juga gigih memasarkan cendawan bersama ulam-ulaman kampung yang dibeli daripada penduduk kampung di Pasar Tani Kampung Simee dan Pasar Tani Medan Gopeng setiap hujung minggu.

"Pada mulanya saya jual cendawan sahaja tapi bila tengok di kampung banyak ulam-ulaman dan pelbagai tanaman, saya terfikir untuk jual juga produk pertanian lain sebab ada permintaan di Pasar Tani ini.

"Secara tak langsung orang kampung ada pendapatan hasil tanaman di sekitar kawasan rumah mereka," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Usaha dilakukan Azizah itu sebagai menyahut seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu tanam apa yang kita makan dan selebihnya jual.

Ia juga selari dengan gagasan Perak Sejahtera 2030 yang sangat menitikberatkan sektor keterjaminan makanan selain memperkasa Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Flagship kelima pelan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!