Worldwide Holdings suntik semangat skuad Akuatik Selangor hadapi SUKMA XXII

Worldwide jadi bapa angkat kepada skuad Akuatik Selangor.
Worldwide jadi bapa angkat kepada skuad Akuatik Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM – Semangat dan keyakinan skuad Akuatik Selangor yang bakal berentap pada SUKMA XXII Selangor 2026 terus diperkukuh menerusi sokongan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) sebagai bapa angkat pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya teruja dapat bersama-sama memberikan sokongan kepada atlet Akuatik Selangor menerusi peranannya.

Menurutnya, pertemuan menerusi Majlis Meet & Greet Bapa Angkat bersama Pasukan Akuatik SUKMA XXII Selangor 2026 di Akuatik Selangor, Seksyen 13, di sini pada Isnin, turut memberi peluang kepada pihaknya mengenali atlet dengan lebih dekat.

“Pertemuan ini bukan sahaja memberi peluang untuk mengenali para atlet dengan lebih dekat, malah mendengar sendiri persiapan dan semangat mereka menjelang SUKMA.

“Kami berharap skuad Akuatik Selangor dapat memberikan prestasi terbaik, kekal fokus dan berdisiplin serta menterjemahkan segala usaha dan persiapan yang dilakukan kepada pencapaian membanggakan buat Selangor,” katanya.

Worldwide Holdings meneruskan komitmen menyokong pasukan Akuatik Selangor untuk kali kedua selepas sebelum ini memberikan sokongan kepada pasukan renang Selangor pada SUKMA XXI Sarawak 2024.

Pada edisi SUKMA XXII Selangor 2026, skuad Akuatik Selangor akan menyertai tiga kategori utama iaitu renang, terjun dan polo air.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan kanan Worldwide Holdings serta atlet dan pengurusan Akuatik Selangor.

Dalam majlis sama, Worldwide Holdings turut menyampaikan baju latihan kepada atlet sebagai simbolik kebersamaan syarikat itu bersama skuad Akuatik Selangor menjelang temasya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Worldwide Holdings berharap atlet daripada ketiga-tiga kategori itu dapat tampil dengan penuh keyakinan, disiplin dan semangat juang sepanjang pertandingan, sekali gus memberikan aksi terbaik dalam membawa cabaran Selangor.

Syarikat itu turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada seluruh skuad Akuatik Selangor dan berharap mereka terus cemerlang serta mengharumkan nama negeri pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!