Piala Jubli Perak Sultan Selangor: 48 pasukan bakal berentap

Emran bersama wakil pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor yang hadir ketika sesi taklimat kejohanan di Karangkraf pada Isnin.
Emran bersama wakil pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor yang hadir ketika sesi taklimat kejohanan di Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SEBANYAK 48 pasukan sekolah bawah 15 tahun dari seluruh Selangor bakal berentap merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,000 dengan juara membawa pulang RM12,000 dalam Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor yang akan berlangsung bermula September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan sempena Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu menyaksikan peningkatan penyertaan daripada 32 kepada 48 pasukan, selain menawarkan hadiah kemenangan yang lebih lumayan berbanding edisi sebelum ini.

"Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM500,000 bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada semua sekolah yang mengambil bahagian.

"Kalau sebelum ini hadiah juara RM8,000, kali ini kita naikkan kepada RM12,000. Naib juara akan menerima RM9,000, tempat ketiga RM7,000 dan tempat keempat RM5,000, selain pingat kepada pemenang," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kejohanan itu di sini, pada isnin.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, semua 48 pasukan yang bertanding turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,200 sebagai persediaan awal, manakala pasukan yang mara ke pusingan 32, 16 dan suku akhir akan menerima tambahan RM1,000 pada setiap peringkat bagi menampung kos pengangkutan dan pengurusan pasukan.

Emran (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor, Hashim Anang (kanan) dalam sesi taklimat kejohanan di Karangkraf pada Isnin.
Emran (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor, Hashim Anang (kanan) dalam sesi taklimat kejohanan di Karangkraf pada Isnin.

Selain itu Emran menjelaskan, pasukan yang berjaya mara sehingga kelompok lapan terbaik berpeluang menerima bantuan keseluruhan RM4,200 sepanjang kejohanan.

"Semua sekolah yang layak akan disediakan sebuah bas untuk membawa pemain, guru dan penyokong ke aksi final di Stadium MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) pada 31 Oktober, manakala dua pasukan finalis masing-masing akan menerima empat buah bas.

Artikel Berkaitan:

"Semua 48 sekolah akan dijemput hadir ke perlawanan akhir kerana kita mahu menjadikan acara ini sebagai kemuncak sambutan Jubli Perak Sultan Selangor dengan kehadiran warga sekolah, guru dan PIBG memenuhi stadium.

"Pertandingan akhir akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari," ujarnya.

Sementara itu Emran berkata, Piala Jubli Perak Sultan Selangor kali ini tampil dengan pembaharuan dengan menggunakan format 48 selain bermula dengan penyertaan 251 sekolah daripada keseluruhan 284 sekolah menengah yang mewakili 10 daerah di negeri ini.

Menurut beliau, seramai 4,518 pemain akan beraksi pada peringkat kelayakan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) sebelum 48 pasukan terbaik mara ke pusingan akhir pertandingan berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!