Henti campur tangan politik dalam Tabung Haji - Aminuddin

Aminuddin ketika sidang khas pembentangan RCI berhubung Lembaga TH di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Aminuddin ketika sidang khas pembentangan RCI berhubung Lembaga TH di Dewan Rakyat, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Campur tangan politik dalam pengurusan Tabung Haji perlu dihentikan bagi memastikan institusi berkenaan diurus secara profesional, berintegriti dan bebas daripada kepentingan politik.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dipercayai merujuk kepada pelantikan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Menurutnya, pengalaman lalu termasuk ketika ahli politik itu menerajui Tabung Haji perlu dijadikan pengajaran supaya pengurusan institusi berkenaan tidak lagi terdedah kepada campur tangan politik.

"Abdul Azeez seorang ahli politik UMNO dilantik menjadi ahli Lembaga Tabung Haji pada 2011 dan kemudian sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 2013. RCI mengambil perhatian bahawa melantik ahli politik dalam Lembaga dan jawatan pengerusi antara 2011 ke 2014 menimbulkan kegelisahan masyarakat .

"Ia membuka ruang yang kita lihat sebagai titik perubahan yang menggambarkan sempadan antara pengurusan profesional institusi dengan antara aset dengan liabiliti dikesan 2014, hanya setahun semasa Azeez menjadi pengerusi.

"Dan ia terus berlarutan sehingga Azeez tamat menjadi Pengerusi.Bonus kakitangan sehingga 13 bulan (pada) 2014 dibayar sebagai gula-gula untuk memudah kerja walaupun kelemahan Tabung Haji mula dikesan oleh Bank Negara sepanjang tempoh Azeez menjadi pengerusi," katanya.

Aminuddin berkata, RCI turut menemukan kelemahan dalam proses pelaburan yang tidak teratur, semakan yang tidak mencukupi dan kelemahan koordinasi dalam membuat keputusan sepanjang tempoh Abdul Azeez menjadi Pengerusi.

Beliau menambah, persoalan itu menjadi lebih serius apabila kedudukan kewangan Tabung Haji pada 2017 dilaporkan lebih baik daripada keadaan sebenar susulan kelemahan amalan perakaunan.

"RCI dilaporkan mendapatkan keuntungan RM34 bilion sepatutnya merupakan kerugian RM14 bilion, ini bukan lagi sekadar punca politik, ini adalah persoalan tadbir urus," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan

'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar

PM perlu hadir bahas RCI TH untuk jawab - Mohd Syahir

RCI TH: Rosol ibaratkan ketiadaan PM seperti pengantin tak datang majlis kahwin

'Ini bukan tatakelola, ini tatatekola' – Afnan dakwa kerajaan tidak serius tangani isu RCI TH

RCI TH: Kabinet setuju siasatan penuh serta-merta

Pasukan khas ditubuh laksana syor RCI, pinda Akta TH - Zulkifli

[VIDEO] 'Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China' - Menteri Agama

Lima kali BNM beri amaran kepada TH, bimbang kesan bayaran agihan untung tinggi - Dr Zulkifli

Pendeposit TH tidak perlu bimbang, urusan zakat dilaksana ikut syarak - Dr Zulkifli

Parlimen bukan tempat penerangan sehala, RCI Tabung Haji perlu dibahas - PN

Dalam masa sama, Aminuddin turut membangkitkan persoalan berkaitan pemberian hibah Tabung Haji ketika kedudukan kewangan institusi berkenaan dipersoalkan.

Menurutnya, perkara itu perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab pengurusan terhadap wang pendeposit dan bukan semata-mata berdasarkan kadar hibah yang diterima.

Beliau berkata, tidak boleh ada kuasa tanpa pertanggungjawaban dan individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan perlu memikul tanggungjawab terhadap keputusan berkenaan.

"Jika seorang yang punya kuasa meluluskan pelaburan mesti ada mekanisme untuk menilai keputusan tersebut, jika seorang mempunyai kuasa melantik lembaga mesti ada tanggungjawab terhadap kualiti pelantikan tersebut.

"Dan jika suatu sistem mempunyai kelemahan, maka pelantikan tersebut harus bertanggungjawab kepada sistem tersebut," kongsinya lagi.

Aminuddin menegaskan, beliau tidak bersetuju sekiranya keseluruhan masalah Tabung Haji hanya diletakkan kepada seorang atau dua individu, namun pada masa sama tidak mahu istilah kelemahan sistem digunakan sehingga akhirnya tiada siapa yang bertanggungjawab.

"Kita perlu bezakan antara kesalahan individu, kelemahan pengurusan, kegagalan lembaga, kelemahan undang-undang dan tanggungjawab politik kerajaan, itu barulah kita berlaku adil," katanya.

Justeru, beliau berpandangan, kepimpinan Tabung Haji perlu diserahkan kepada golongan profesional yang berkelayakan dan bebas daripada kepentingan politik.

"Pengajarannya jelas, kepimpinan Tabung Haji perlu diserahkan kepada golongan profesional yang berkelayakan dan bebas daripada kepentingan politik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!