'Ini bukan tatakelola, ini tatatekola' – Afnan dakwa kerajaan tidak serius tangani isu RCI TH

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak serius mengambil tindakan terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) apabila Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa hanya berlangsung dalam bentuk sesi Penerangan Menteri tanpa usul khusus.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerajaan sepatutnya membentangkan satu usul khusus bagi membolehkan Dewan Rakyat membuat keputusan berhubung tindakan susulan terhadap laporan berkenaan.
"Tetapi hari ini hanya ada sesi Penerangan Menteri. Menteri bersyarah beritahu apa yang dia dah buat. Ahli Parlimen tanya, menteri jawab. Habis setakat itu sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut Afnan, jika hanya sesi penerangan diadakan, lebih baik perkara berkenaan disampaikan menerusi sidang media kerana tidak menghasilkan sebarang keputusan melalui Dewan Rakyat.
“Baik panggil sidang media ja. Wartawan tanya, menteri jawab. Lepas tu jadi berita,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang mahu usul khusus dibentangkan kerana ia membolehkan proses pengundian dibuat dan keputusan diambil bagi menentukan tindakan kerajaan terhadap isu berkenaan.
“Kita nak ada usul. Bila ada usul, ada undian. Ada undian, ada keputusan untuk kerajaan ambil tindakan. Itulah fungsi Dewan Rakyat, badan legislatif,” katanya.
Afnan turut membangkitkan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang khas berkenaan atas faktor kesihatan.
“Kebetulan pula hari ini PMX tak sihat, tak dapat hadir. Isu besar begini patutnya dibentang oleh Perdana Menteri.
“YB Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) sebut tadi, kalau PMX hadir, kami akan bahas. Kalau tidak, tangguhkan sidang sampai PMX boleh hadir,” katanya.
Beliau kemudian mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak serius untuk mengambil tindakan bagi mengatasi isu yang dibangkitkan dalam RCI Tabung Haji.
“Nampaknya, PH tak serius nak ambil tindakan untuk atasi isu RCI Tabung Haji ini,” katanya.
Dalam pada itu, Afnan turut mempersoalkan tindakan kerajaan mendedahkan laporan RCI Tabung Haji kepada umum sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Menurutnya, Perdana Menteri sebelum ini sudah membahaskan isu berkenaan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Yang peliknya, PMX dah ‘bahas’ isu ini lebih awal dalam PRN Negeri Sembilan hari tu. Nampak isu ini macam serius sungguh. Tapi bila tiba hari persidangan, hanya jadi sesi chit chat dengan menteri,” katanya.
Dalam hantaran sama, Afnan menyindir tatakelola kerajaan berhubung pengendalian isu RCI berkenaan.
“Ini bukan tatakelola. Ini tatatekola,” katanya.
Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa diteruskan bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permintaan supaya persidangan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


