Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Dr Zaliha (gambar kecil) turut memuat naik sekeping gambar dalam Dewan Rakyat.
Dr Zaliha (gambar kecil) turut memuat naik sekeping gambar dalam Dewan Rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa dipersoalkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai amat mengecewakan kerana pembangkang sebelum ini dilihat lantang memperjuangkan isu berkaitan Islam dan kepentingan umat Islam.

Menurutnya, sidang khas berkenaan sepatutnya menjadi ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk meneliti, mempersoalkan, mencabar dan menyanggah dapatan RCI berdasarkan fakta.

“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.

“Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, sekiranya terdapat dapatan RCI yang tidak dipersetujui pembangkang, perkara itu seharusnya dibangkitkan menerusi perbahasan di Dewan Rakyat.

“Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan.

“Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah,” jelas Dr Zaliha.

Beliau pada masa sama turut mempersoalkan pendirian pembangkang yang bercakap mengenai ketelusan, amanah, Islam dan kepentingan umat di luar Dewan, tetapi memilih untuk keluar apabila diberikan ruang untuk berdepan dengan dapatan laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?” katanya.

Menurut Dr Zaliha, tindakan keluar beramai-ramai itu lebih mengecewakan kerana perbahasan berkenaan menyentuh isu pengurusan dan amanah wang pendeposit Tabung Haji.

“Ini bukan isu kecil dan bukan ruang untuk melakukan ‘political stunt’,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya pembangkang benar-benar serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, mereka sepatutnya kekal berada dalam Dewan, meneliti laporan berkenaan dan membahaskan setiap perkara yang dipertikaikan.

“Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?” katanya.

Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa diadakan bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji, yang sebelum ini dinyahklasifikasikan kerajaan bagi membolehkan kandungannya diketahui umum.

RCI berkenaan ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan, operasi dan urusan berkaitan aset Tabung Haji, termasuk perkara-perkara yang menjadi persoalan berhubung pengurusan institusi berkenaan.

TAMAT

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!